Petugas Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) melakukan kerja mitigasi bagi memulihkan pencemaran bau Sungai Kuang pada 23 Julai 2024. Foto Facebook LUAS
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Kualiti air dua sungai makin baik, Sungai Kundang hanya 1 TON

SHAH ALAM, 23 JULAI: Kualiti air Sungai Sembah dan Sungai Selangor menunjukkan penurunan pencemaran bau dengan bacaan sifar TON (nombor bau nilai ambang) setakat 5.45 petang ini.

Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) memaklumkan bacaan sifar TON juga dicatatkan di muka sauk loji rawatan air (LRA) Rantau Panjang dan Sungai Selangor Fasa 3 (SSP3).

Manakala Sungai Kundang, muka sauk LRA Sungai Selangor Fasa 1 (SSP1) dan Sungai Selangor Fasa (2SSP2) menunjukkan penurunan daripada 4 kepada 1 TON.

Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) pula memaklumkan LRA Rantau Panjang kembali beroperasi sepenuhnya pada jam 3 petang.

EXCO Infrastruktur dan Pertanian, Izham Hashim bercakap kepada media selepas majlis Penyerahan Jentuai Mini Pertubuhan Peladang Negeri Selangor di Pertubuhan Peladang Negeri (PPN) Sekinchan, Sabak Bernam pada 23 Julai 2024. Foto HAFIZ OTHMAN/MEDIA SELANGOR

Sementara itu, EXCO Infrastruktur Ir Izham Hashim berkata Kerajaan Negeri mengambil pelbagai tindakan susulan termasuk melaksanakan Operasi Pengepaman Air Kolam (OPAK).

“Kita telah kenal pasti bahan jenis Poly Methacrylic Acid (PMAA) telah dilepaskan sebuah gudang penyimpanan bahan-bahan kimia di Sungai Kuang. Pencemaran telah masuk ke Sungai Kuang kemudian memasuki Sungai Kundang, Sungai Sembah dan akhirnya ke Sungai Selangor.

“Langkah diambil antaranya menutup LRA supaya tidak masuk ke dalam sistem dan laksana operasi OPAK untuk mengepam air mengikut standard ditetapkan,” katanya ketika mengadakan lawatan ke Pertubuhan Peladang Negeri Selangor bahagian jentera di Sabak Bernam hari ini.

Izham memaklumkan Kerajaan Negeri telah menutup serta merta operasi gudang tersebut bagi membolehkan tindakan diambil.

“Air Selangor telah membuat laporan polis bagi membolehkan siasatan dijalankan pihak berkuasa termasuk mengenakan tindakan tegas terhadap pelaku.

“Kita sedang dapatkan bahan bukti tetapi setakat ini kita dapati air dan sumber pencemaran bahan kimia sama,” katanya.

Susulan pencemaran bau Sungai Kuang, Air Selangor terpaksa menghenti tugas sementara LRA Rantau Panjang, SSP1, SSP2 dan SSP3.

Berikutan itu, tujuh wilayah iaitu Petaling, Klang, Shah Alam, Gombak, Kuala Lumpur, Hulu Selangor dan Kuala Selangor mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual.


Pengarang :