BERITA UTAMAPENDAPATRENCANA

Lali dilabel ‘liberal’, Sharifah Amani berdamai dengan kritikan

Oleh INTAN SYUHADA AKHIR

Alah bisa, tegal biasa. Pelakon Sharifah Amani sudah lali dituduh sebagai berfahaman ‘liberal’ sejak aktif dalam dunia lakonan kira-kira 19 tahun lepas.

Anak perempuan kepada Syed Zainal Rashid Al-Yahya baru setahun menamatkan zaman persekolahan semasa menerima kecaman hebat pertamanya.

Semua berpunca daripada keberaniannya melakonkan naskhah arahan Yasmin Ahmad yang dianggap provokatif terhadap nilai Islam negara ini, bermula filem Sepet (2005) diikuti Gubra (2006) dan Muallaf (2008).

Terkini, menerusi filem La Luna yang ditayangkan menerusi saluran penstriman Netflix sejak tahun lepas, nama Sharifah Amani sekali lagi mencuri perhatian.

Ekoran tayangan arahan M Raihan Halim itu, tular di media sosial kritikan golongan agamawan yang menuduh semua filem dilakonkan wanita itu pasti bersifat menghina agama dan menyebarkan fahaman ‘liberal’.

“Saya faham, setiap keputusan yang saya lakukan, pasti akan ada sebab yang perlu ditanggung. Saya ambil masa juga untuk berdamai dengan trauma daripada kecaman lalu.

“Sebelum La Luna keluar, saya akui agak gementar. Saya enggan terpalit dengan perhatian yang tidak perlu.

“Saya hanya mahu melakonkan naskhah yang menimbulkan persoalan penting kepada masyarakat atau memberikan inspirasi kepada gadis muda.

“Jujurnya, saya fikirkan La Luna sebuah filem santai kerana masyarakat kita sudah lalui banyak perkara. Isu penunggang agama turut dilaporkan di muka depan akhbar. Lagi pula sudah dinyatakan had umur tontonan,” katanya ketika ditemui Selangorkini, baru-baru ini.

Menyifatkan kecaman sebagai perkara biasa dalam industri seni, beliau menganggap kritikan diterima sebagai ujian daripada Allah SWT, sekali gus mendorongnya untuk sentiasa merendah diri.

Bagaimanapun, wanita berumur 37 tahun itu merasakan setiap kritikan perlu dinilai dan harus ditapis dengan bijak untuk memperbaiki mutu lakonannya.

“Kita boleh tahu sama ada ia datang daripada pengkritik filem yang profesional atau sekadar mahu meraih perhatian,” katanya.

Mengimbau kembali detik dikecam kerana membintangi filem Yasmin dekad 2000-an, pelakon wanita terbaik paling muda dalam sejarah Festival Filem Malaysia sering dilindungi oleh pengarah itu dan keluarganya.

Putar belit

Segar dalam ingatan adik kepada pelakon Sharifah Aleya itu, di sebalik penghinaan dilemparkan, ada penonton menangis menemuinya dan berterima kasih kerana filem Yasmin dilakonkannya menyentuh jiwa.

Namun, sejak pemergian Yasmin pada 2009, wanita yang lebih mesra disapa sebagai Nani, belajar mempertahankan pendiriannya sendiri.

Sekali gus menjadikan beliau seorang yang lantang bersuara menyebabkan ada peminat menganggapnya keras kepala dan bersikap melawan.

Anak jati Kuala Lumpur itu berpandangan, sejak dahulu lagi, penggiat seni tanah air selalu menjadi mangsa keadaan dan motif pihak berkepentingan.

“Sebagai pengkarya, saya faham dan tahu mengapa sesebuah cerita itu dihasilkan.

“Namun sayangnya, ia selalu diputar belit. Anak seni hanya akan diingati bila dikutuk atau digunakan untuk perjalanan politik pihak tertentu.

“Saya masih ingat lagi macam mana arwah Yasmin semasa hayatnya dilabel pencemar budaya.

“Namun hari ini masuk sahaja musim perayaan, semua orang mencari iklan dan naskhahnya kerana dianggap filem berwajah Malaysia,” katanya.

Bagaimanapun, Sharifah Amani masih menyimpan harapan supaya situasi berkenaan berubah dan anak seni di negara ini boleh berkarya dengan lebih baik pada masa depan.

 

 


Pengarang :