Petugas Air Selangor mengagihkan bekalan alternatif menggunakan lori tangki kepada penduduk sekitar Kuala Lumpur yang terjejas. Foto Facebook Air Selangor
AGENDANASIONAL

Lori tangki digerak ke lokasi terjejas, keutamaan kepada premis kritikal

SHAH ALAM, 23 JULAI: Lori tangki digerakkan ke kawasan terjejas akibat gangguan bekalan air tidak berjadual susulan henti tugas sementara empat loji rawatan air (LRA).

Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) memaklumkan langkah itu bagi mengurangkan kesan kepada pengguna dengan mengutamakan premis kritikal seperti hospital, klinik, pusat dialisis dan upacara pengebumian.

“Bantuan bekalan air alternatif menerusi 17 Pusat Khidmat Setempat (PKS) turut disediakan untuk kemudahan pengguna di lokasi yang tersenarai yang tersenarai,” menurut kenyataan di Facebook.

Setakat 9.45 malam tadi Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) merekodkan bacaan sifar TON (nombor bau nilai ambang) di Sungai Kuang, Sungai Kundang, Sungai Sembah dan Sungai Selangor serta empat LRA terlibat.

Air mentah berjaya disalurkan semula kepada LRA Rantau Panjang pada jam 3 petang, manakala LRA Sungai Selangor Fasa 3 (SSP3), Sungai Selangor Fasa (2SSP2) dan Sungai Selangor Fasa 1 (SSP1) pada jam 5 petang.

EXCO Infrastruktur Ir Izham Hashim pula berkata bekalan air bersih dijangka disalur secara berperingkat mulai jam 8 pagi esok dan bekalan semua kawasan pulih sepenuhnya Jumaat ini.

Susulan pencemaran bau Sungai Kuang, Air Selangor terpaksa menghenti tugas sementara LRA Rantau Panjang, SSP1, SSP2 dan SSP3.

Berikutan itu, tujuh wilayah iaitu Petaling, Klang, Shah Alam, Gombak, Kuala Lumpur, Hulu Selangor dan Kuala Selangor mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual.


Pengarang :