Ketua Penolong Pengarah Bahagian Penyelidikan Kependudukan dan Keluarga LPPKN Ahmad Hashimi Mohammad (kanan) ketika menjadi tetamu program Hai Selangor yang disiarkan di platform SelangorTV pada 26 Julai 2024.
AGENDANASIONAL

LPPKN laksana kajian keluarga libat 37,550 rumah, data untuk rangka dasar negara

Oleh AMIRAHWANI RAHIMI

SHAH ALAM, 26 JULAI: Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) menjalankan Kajian Penduduk dan Keluarga Malaysia Keenam (KPKM-6) 2024 bermula 15 Julai hingga 31 Disember ini.

Ketua penolong pengarah bahagian penyelidikan kependudukan dan keluarga LPPKN berkata kajian melibatkan 37,550 kediaman bertujuan mengumpul data terkini yang menjadi menjadi sumber untuk merangka dasar negara.

“Kajian ini perlu dibuat setiap 10 tahun bagi membuat perbandingan pembangunan keluarga Malaysia sejak 50 tahun lalu. Antara inti pati yang diperlukan merangkumi data kependudukan, kekeluargaan dan kesihatan reproduktif serta sosioekonomi penduduk.

“Semua maklumat yang diperoleh memudahkan pihak berkaitan untuk membangunkan dasar, inisiatif dan program untuk pelbagai lapisan masyarakat,” kata Ahmad Hashimi Mohammad ketika menjadi tetamu program Hai Selangor yang disiarkan di platform SelangorTV hari ini.

Beliau berkata kajian itu menyasarkan lima kategori responden iaitu wanita pernah berkahwin berusia 15-59 tahun, lelaki pernah berkahwin berusia 15-59 tahun, remaja belum pernah berkahwin berusia 13-24 tahun, warga emas berusia 60 tahun ke atas dan penduduk bujang berusia 25-59 tahun.

“Kajian ini secara umumnya adalah untuk mengumpul data siri masa dari tahun 1974 sehingga kali ke-6, data siri masa boleh bandingkan antara keluarga tahun 74, hingga 2024 , kita boleh lihat evolusi itu sendiri,” katanya.

Beliau turut memohon kerjasama orang ramai memandangkan temu bual setiap respondan yang terpilih mengambil masa antara 45 minit hingga sejam.

“Responden perlu memberi kerjasama. JIka responden memerlukan waktu lain, kita boleh batalkan temu bual dan ikut masa yang dimahukan responden. Cuma kita minta semua responden ada kesedaran bahawa maklumat mereka ini amat penting untuk merencana masa depan negara,” katanya.

 


Pengarang :