Antara peserta Muzakarah Zakat Nusantara pada sesi pembentangan isu zakat melibatkan lima negara di Grand Ballroom Bangi Resort Hotel, Bangi pada 2 Julai 2024. Foto Facebook LZS
AGENSISELANGOR

LZS anjur muzakarah nusantara, kongsi pengurusan zakat lima negara

BANGI, 2 JULAI: Muzakarah Zakat Nusantara (MZN) menjadi platform lebih 280 peserta dari Malaysia, Singapura, Brunei, Thailand dan Indonesia bertukar-tukar pandangan mengenai kemajuan pengurusan dan hal ehwal berkaitan ibadah zakat di negara masing-masing.

Diadakan selama empat hari bermula semalam, ia menghimpunkan perwakilan daripada pelbagai sektor khususnya daripada industri pengurusan zakat, penggubal fatwa dan penasihat syariah, sarjana Islam, para penyelidik, ahli akademik, korporat termasuk orang perseorangan.

Ketua Divisyen Syariah dan Dakwah Lembaga Zakat Selangor (LZS) Salehuddin Abu Samah berkata MZN menjadi medan perkongsian perkembangan ilmu, hukum-hakam dan tadbir urus zakat dari pelbagai negeri serta negara untuk dimanfaatkan oleh pihak yang terlibat dalam industri zakat.

“Pelbagai kertas kerja dibentangkan bagi mengupas topik berkaitan pengurusan zakat terutama berkenaan perkembangan syariah, pendekatan dakwah zakat yang lebih realistik seiring dengan peredaran zaman,” katanya dalam sidang media selepas majlis perasmian oleh Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof.

MZN turut membincangkan isu-isu agenda perubahan dalam pemahaman zakat yang lebih baik bagi mendepani keperluan masa hadapan ummah yang semakin kompleks.

Salehuddin berkata sebanyak 41 kertas kerja dibentangkan bagi mengupas topik berkaitan pengurusan zakat terutama berkenaan perkembangan syariah dan isu-isu semasa berkaitan dengannya.

Sementara itu, Abdul Aziz dalam ucapannya berkata MZN anjuran LZS dengan kerjasama Universiti Kebangsaan Malaysia, dilihat mampu menjadi platform berwibawa bagi rujukan institusi zakat demi merungkai pelbagai persoalan dan mencetuskan inovasi zakat di rantau ini.

“Untuk makluman, MZN telah dicetuskan oleh LZS, dengan wawasan untuk memacu kemajuan zakat di lima negara. Lalu, bergabunglah penggerak zakat lima negara ASEAN sebagai rakan strategik.

“Sejak itu, MZN terus berusaha mengorak langkah menjadi pentas utama perkongsian pelbagai perkara mengenai kemajuan pengurusan dan hal ehwal berkaitan ibadah zakat, khususnya daripada aspek hukum-hakam dan pendekatan dakwah,” katanya.

Penolong Mufti Singapura Dr Izal Mustafa Kamar yang merupakan antara peserta muzakarah berkata penganjuran MZN merupakan satu inisiatif yang amat baik kerana banyak kajian ilmiah mengenai zakat dibentangkan dan dibincangkan bersama peserta dari negara lain.

“Saya rasa perkongsian sepanjang beberapa hari ini telah membentangkan pelbagai isu dan kajian ilmiah yang hasil kajian ini boleh kita bawa balik ke Singapura untuk dibahaskan semula,” katanya.

Manajer Biro Kepatuhan Syariah dari Inisiatif Zakat Indonesia Muhammad Suharsono berkata penganjuran MZN sangat baik dan positif bagi pentadbiran zakat di nusantara.

“Pentadbiran zakat berkembang dengan pantas dan hal itu harus diikuti dengan kepatuhan atau kesesuaian dengan syariah,” katanya.

Peserta dari Thailand, pensyarah University of Naradhiwas Dr Mutsalim Khareng berkata MZN menjadi platform untuk membincangkan tentang isu-isu zakat yang terkini termasuk pentadbiran dan pengurusan zakat di negara yang penganut Islam adalah minoriti.

“Pada kami, negara yang minoriti Muslim tak sama dengan negara yang majoritinya orang Islam. Kami di sana (negara minoriti) kena belajar daripada pengalaman-pengalaman negara yang berjaya menguruskan zakat seperti di Malaysia.

“Melalui muzakarah ini kami dapat ambil pengalaman di sini untuk interaksi dan sebar kepada penduduk di sana dari sudut kesedaran tentang kewajipan zakat dan sebagainya,” katanya.

Pada majlis itu, Abdul Aziz turut melancarkan Buku Karikatur Sembang Zakat siri 1, yang merupakan kompilasi karikatur dakwah zakat yang tersiar melalui media sosial rasmi LZS.

LZS menggunakan pendekatan dakwah menerusi karikatur bagi memberi pemahaman dan kesedaran kepada masyarakat terutama generasi muda secara santai berkenaan zakat.

-BERNAMA


Pengarang :