Aksi pemain Malaysia ketika menentang Thailand dalam acara regu Piala Dunia Sepak Takraw di Stadium Titiwangsa, Kuala Lumpur pada 22 Mei 2024. Foto Facebook Persatuan Sepaktakraw Malaysia – PSM
AGENDASUKANKINI

Malaysia setuju jadi tuan rumah Kejohanan Sepaktakraw Piala Asia 2025

KUALA LUMPUR, 1 JUL: Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) bersetuju menerima tawaran Persekutuan Sepaktakraw Asia (ASTAF) untuk bergelar tuan rumah bagi penganjuran Kejohanan Sepaktakraw Piala Asia 2025 yang bakal diperkenalkan buat julung kali.

Presiden PSM Datuk Mohd Sumali Reduan berkata tawaran penganjuran kejohanan itu bagaimanapun, perlu mengambil kira beberapa faktor termasuk dari sudut dana sebelum langkah seterusnya dapat dilaksanakan.

“Banyak faktor dan sudut dibincangkan dan pada dasarnya, kita bersetuju cuma ada beberapa perkara perlu dihalusi.

“Antaranya dana serta takwim kerana tahun depan dijangka penuh dengan kejohanan besar termasuk Sukan SEA Bangkok, Piala Tun Ali, Liga Sepak Takraw (STL) dan mungkin kejohanan lain,” katanya selepas mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi badan induk sukan itu semalam.

Mohd Sumali berkata pihaknya akan membuat perbincangan lanjut bersama ASTAF dalam menentukan tarikh kejohanan itu sedia untuk dianjurkan tahun hadapan dengan mengambil kira pandangan Kementerian Belia dan Sukan (KBS), selain Pesuruhjaya Sukan (PJS).

“Kita akan putuskan nanti sama ada Piala Asia ini akan diteruskan atau beri laluan pada kejohanan lain terlebih dahulu,” katanya.

Badan induk itu juga optimis bahawa tempoh masa mencukupi dalam soal mencari dana agar dapat memastikan kejohanan itu dijayakan pada tahun hadapan.

Sebelum ini, Presiden ASTAF Datuk Abdul Halim Kader menerusi kenyataan memberitahu mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi ASTAF sebulat suara bersetuju melantik Malaysia selaku tuan rumah kejohanan berkenaan.

Faktor utama Malaysia diberi kepercayaan dan ditawarkan hak penganjuran Piala Asia 2025 adalah bersandarkan pada 10 asas kukuh dan praktikal, antaranya kejayaan menganjurkan Kejohanan Piala Dunia dengan cemerlang pada 16 – 26 Mei lepas.

Dalam pada itu, Mesyuarat Agung Tahunan PSM turut menyaksikan skuad takraw negara menerima insentif khas berjumlah RM170,000 yang dijanjikan MSN susulan kejayaan membanggakan pada kejohanan Piala Dunia Sepak Takraw 2024 bulan lepas.

Sebelum ini, MSN meluluskan pemberian insentif berjumlah RM60,000 masing-masing kepada pasukan regu dan double berikutan kejayaan muncul juara, manakala regu berpasukan yang bergelar naib juara pula menerima RM50,000.

Cek disampaikan Naib Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM) Datuk Wira Megat Zulkarnain Omardin.

– BERNAMA


Pengarang :