ADN Kuala Kubu Baharu Pang Sock Tao membahas usul Kajian Separuh Penggal Rancangan Selangor Pertama (RS-1) dalam sidang Dewan Negeri Selangor (DNS) di Bangunan Annex, Shah Alam pada 9 Julai 2024. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/MEDIA SELANGOR
ADNSELANGOR

Manfaat aktiviti ekopelancongan Kuala Kubu Bharu, terus tarik pelancong ke Selangor

SHAH ALAM, 9 JULAI: Potensi pelancongan Hulu Selangor khususnya Kuala Kubu Bharu yang kaya dengan aktiviti ekopelancongan wajar dimanfaatkan, kata wakil rakyat Kuala Kubu Bharu.

Pang Sock Tao berkata berdasarkan data operator aktiviti sukan lasak dan pengusaha inap dusun, Hulu Selangor menarik 336,894 pengunjung tahun lalu, meningkat 52 peratus berbanding 220,968 pada 2022.

Sock Tao berkata ini membuktikan tawaran dan tarikan pelancongan di Hulu Selangor semakin berkembang dan bukan saja mendapat sambutan rakyat Malaysia, malah pengunjung dari seluruh dunia.

“Kuala Kubu Bharu boleh menyumbang lebih kepada pembangunan sektor pelancongan di Selangor.

“Justeru saya mencadangkan Kerajaan Selangor memasukkan Hulu Selangor khususnya Kuala Kubu Bharu dalam Pelan Induk Pelancongan Negeri Dalam Rancangan Selangor Pertama (RS-1),” katanya ketika membahaskan usul Kajian Separuh Penggal RS-1 di Dewan Negeri Selangor hari ini.

Pada masa sama katanya kerja penyelenggaraan dan penaiktarafan kemudahan awam di sekitar destinasi pelancongan tandas awam perlu ditingkat dan dipercepatkan.

“Selain itu, saya cadangkan untuk meningkatkan kebolehcapaian pengangkutan awam dengan mewujudkan van transit atas permintaan (DRT) di Kuala Kubu Bharu,” katanya.

Menjadikan sektor ekopelancongan sebagai sumber ekonomi utama penduduk Kuala Kubu Bharu antara manifesto Sock Tao yang memenangi pilihan raya kecil (PRK) Kuala Kubu Baharu pada Mei.

Sebelum ini Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata RS-1 memainkan peranan penting dalam memastikan Selangor mencipta sejarah merekodkan nilai aktiviti ekonomi berjumlah RM406.1 bilion pada 2023.


Pengarang :