Pemimpin tertinggi Hamas Ismail Haniyeh bercakap semasa sidang media di Tehran, Iran, pada 26 Mac 2024. Foto REUTERS
AGENDANASIONAL

Masjid, surau di Selangor anjur solat jenazah ghaib buat Ismail Haniyeh

SHAH ALAM, 31 JULAI: Semua masjid dan surau negeri ini akan mengadakan solat jenazah ghaib susulan pemergian pemimpin Hamas Ismail Haniyeh dibunuh dalam serangan udara Israel.

Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) Dato’ Shahzihan Ahmad berkata solat berkenaan diadakan selepas jenazah ketua biro politik Hamas itu dikebumikan.

“Ya. Kita juga akan buat. Arahan juga sudah dikeluarkan. Selepas jenazah dikebumikan, solat ghaib terus lakukan,” katanya ketika dihubungi Selangorkini.

Terdahulu Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) mengeluarkan arahan seluruh masjid pentadbirannya menunaikan solat jenazah ghaib susulan pemergian Ismail.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dato’ Mohd Na’im Mokhtar berkata arahan dikeluarkan kepada Ketua Pengarah Jakim, Datuk Hakimah Mohd Yusoff dan Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah (Jawi), Datuk Mohd Ajib Ismail berhubung perkara itu.

Televisyen Iran juga melaporkan kematian Ismail,62, menyatakan siasatan mengenai pembunuhan terbabit sedang dijalankan dan keputusan akan diumumkan kelak.

Ismail berada di Tehran untuk menghadiri majlis angkat sumpah presiden baharu republik Islam itu Masoud Pezeshkian pada Selasa.


Pengarang :