Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berucap sempena persidangan Dewan Negeri Selangor (DNS) ke-15 di Shah Alam pada 28 Februari 2024. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
BERITA UTAMANASIONAL

MB bentang kajian Rancangan Selangor Pertama di dewan negeri hari ini

SHAH ALAM, 4 JULAI: Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari bakal membentang Kajian Separuh Penggal Rancangan Selangor Pertama (RS-1) dalam sidang Dewan Negeri Selangor (DNS) hari ini.

Menurut Speaker Lau Weng San, pembentangan pelan pembangunan lima tahun 2021-2025 itu memperinci perkembangan pembangunan utama yang dijalankan Kerajaan Selangor.

Beliau memberitahu projek berkenaan termasuk Pembangunan Kawasan Sabak Bernam (SABDA) dan Projek Wilayah Pembangunan Bersepadu Selangor Selatan (IDRISS) dan Gerbang Maritim Selangor (SMG).

RS-1 menggariskan 14 petunjuk makro bagi mencapai keseimbangan antara pertumbuhan ekonomi dan peningkatan kualiti kehidupan rakyat.

Pelan yang bertujuan menangani cabaran semasa digerakkan menerusi empat teras, lima pemangkin dasar dan 262 projek serta inisiatif melalui 19 pemacu perubahan.

Empat teras strategik RS-1 meliputi pengukuhan sektor ekonomi, membina kesejahteraan rakyat dan keterangkuman sosial, memacu agenda kelestarian serta peningkatan kecekapan tadbir urus.

Orang ramai boleh mengikuti siaran langsung sidang Dewan Negeri Selangor (DNS) yang dijadual dua minggu mulai 4 Julai melalui YouTube SelangorTV atau Facebook Media Selangor.

Laporan berita perbahasan wakil rakyat juga boleh dicapai menerusi portal selangorkini.my secara harian yang turut meliputi edisi bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris setiap hari.

 

 


Pengarang :