Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari (tengah) bersama barisan Sekretariat Pembangunan Mahasiswa Selangor. Foto Facebook Amirudin Shari
BERITA UTAMASELANGOR

MB harap graduan dapat manfaat program pembangunan mahasiswa

SHAH ALAM, 3 JULAI: Program pembangunan mahasiswa diharap mampu memberi peluang dan ruang kepada graduan meraih manfaat lebih besar untuk berbakti kepada negeri.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata inisiatif itu bukan sekadar program ‘one-off’ tetapi dilaksanakan dengan lebih berkesan.

“Memegang portfolio pendidikan negeri, agenda pembangunan pendidikan melalui program pembangunan pelajar peringkat menengah atas dan mahasiswa adalah sesuatu yang begitu dekat dengan saya.

“Melalui inisiatif ini, Sekretariat Pembangunan Mahasiswa Selangor ditubuh dengan penglibatan pasukan teras melalui wakil agensi dan entiti strategik Kerajaan Negeri daripada pelbagai lapangan dan latar belakang,” katanya menerusi Facebook.

Amirudin memaklumkan Kerajaan Negeri julung kalinya menjayakan Konvensyen Mahasiswa Selangor Timur Tengah (KOMSEL) sejak 2019 dan dilaksanakan sehingga kini.

“Tahun lepas melalui Belanjawan Selangor 2024, saya ilhamkan Jelajah Mahasiswa #KitaSelangor yang kini dikenali dengan Jerayawara Siswa #KitaSelangor yang dijalankan di Sabah dan Pulau Pinang bertujuan meluaskan inisiatif itu kepada mahasiswa Selangor seluruh negara,” katanya.

Oktober tahun lalu, Dato’ Menteri Besar berkongsi kepakaran mentadbir negeri dalam program bersama lebih 100 mahasiswa Selangor pada KOMSEL di Jordan.

Program itu juga menjadi mekanisme perkongsian maklumat, pengalaman dan idea dalam kalangan anak Selangor yang menuntut di Mesir, Jordan dan Maghribi.

Ahad lalu, Amirudin mengadakan pertemuan dan berdialog dengan 327 mahasiswa kelahiran Selangor di Universiti Sains Malaysia (USM) Pulau Pinang.

Menerusi segmen Sembang Sempoi pada program Jerayawa Kita Selangor Zon Utara, beliau turut menjawab soalan dan mendengar pandangan mahasiswa mengenai hala tuju pentabiran negeri.


Pengarang :