PBTSELANGOR

MBSJ sasar kutipan hasil RM331.03 juta tahun ini

SUBANG JAYA, 23 JULAI: Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) menyasarkan kutipan hasil pada tahun ini meningkat kepada RM331.03 juta berbanding RM315.03 juta tahun lalu.

Datuk bandar Dato’ Amirul Azizan Abd Rahim berkata setakat Jun, MBSJ berjaya mengutip RM179.13 juta iaitu 54 peratus daripada sasaran.

“Saya yakin kutipan ini dapat mencapai sasaran yang ditetapkan pada hujung tahun 2024,” katanya ketika berucap selepas Majlis Angkat Sumpah dan Menandatangani Watikah Pelantikan Datuk Bandar MBSJ di sini hari ini.

Sementara itu, Amirul Azizan berkata anggaran perbelanjaan mengurus MBSJ tahun ini adalah sebanyak RM224.53 juta manakala perbelanjaan pembangunan pula dianggarkan RM113.50 juta.

“MBSJ sentiasa mengamalkan perbelanjaan berhemah. Pada tahun lalu perbelanjaan mengurus adalah sebanyak RM200.97 juta dan pembangunan RM107.49 juta,” katanya.

Terdahulu, Amirul Azizan mengangkat sumpah dan menandatangani watikah pelantikan Datuk Bandar MBSJ keempat, berkuat kuasa hari ini.

Majlis tersebut disaksikan Timbalan Datuk Bandar Mohd Zulkurnain Che Ali; Timbalan Setiausaha Ismail Salim; Ahli Dewan Negeri Serdang Abbas Salimmi Azmi; Ketua Polis Subang Jaya ACP Wan Azlan Wan Mamat, Ketua Polis Serdang ACP AA Anbalagan, pengarah jabatan dan barisan ahli majlis.

Amirul Azizan, 47, dilahirkan di Kuala Lumpur dan mendapat pendidikan di Victoria Institution kemudian melanjutkan pendidikan tinggi dalam bidang Sarjana Pentadbiran Perniagaan Universiti Kebangsaan Malaysia dan Sarjana Muda Sains (Saint Louis University, St Louis, USA).

Mantan yang dipertua Majlis Perbandaran Kuala Langat itu juga pernah berkhidmat antaranya di Kementerian Pertahanan, Kementerian Keselamatan Dalam Negeri, Perbendaharaan Malaysia, Perbendaharaan Selangor dan Pejabat Daerah dan Tanah Gombak.


Pengarang :