AGENDANASIONAL

Menteri: Malaysia tegas tidak benar syarikat Israel labur di negara ini

KUALA LUMPUR, 3 JULAI: Malaysia tidak pernah menghalang mana-mana syarikat untuk melabur di negara ini, namun tegas dengan pendirian untuk tidak membenarkan syarikat milik Israel menjalankan aktiviti di negara ini, kata Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.

Beliau berkata ketegasan Kerajaan Madani di bawah pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam hal itu, dapat dibuktikan apabila syarikat perkapalan ZIM milik Israel disekat dari berlabuh di perairan Malaysia sejak Disember lalu.

“Walaupun kita tidak menghalang mana-mana syarikat untuk melabur di negara kita, tetapi tidak untuk syarikat milik Israel,” katanya pada sesi penerangan Kamar Khas di Dewan Rakyat berhubung penjualan saham Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) kepada Global Insfrastructure Partners (GIP).

Beliau berkata Kerajaan Madani juga kekal teguh dalam pendirian mempertahankan dan membela nasib rakyat Palestin, selain peranan aktif turut dimainkan institusi di negara ini yang bersolidariti dan menyumbang untuk mangsa kekejaman Zionis.

Amir Hamzah berkata di platform antarabangsa, Perdana Menteri dan Jemaah Menteri tidak jemu berbicara dan menyuarakan gesaan kepada pemimpin dunia termasuk kuasa besar, agar kekejaman rejim Israel terhadap Palestin dihentikan segera.

Amir Hamzah berkata Malaysia juga telah menyuarakan ketegasan di persidangan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), supaya negara Palestin mendapat keanggotaan penuh dalam badan dunia itu.

“Kita juga sokong penuh keputusan resolusi genjatan senjata dan konsisten salur bantuan kemanusiaan ke Semenanjung Gaza,” katanya.

Anwar yang juga Menteri Kewangan pada 25 Jun memberitahu persidangan Dewan Rakyat bahawa penjualan pegangan saham dalam Malaysia Airport Holdings Bhd (MAHB) kepada GIP, melalui syarat yang ketat.

GIP merupakan pelabur infrastruktur terkemuka yang menguruskan aset bernilai US$112 bilion bagi pihak pelaburnya, yang merangkumi kira-kira 500 institusi pelaburan di seluruh dunia.

– BERNAMA


Pengarang :