AGENDANASIONAL

Menteri: Rampasan turun 87 peratus selepas penyasaran subsidi diesel

PUTRAJAYA, 4 JULAI: Langkah penyasaran subsidi diesel bermula 10 Jun lepas menyaksikan penurunan rampasan minyak diesel sebanyak 87 peratus, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali.

Trend penurunan itu katanya adalah berdasarkan perbandingan bagi tempoh 20 hari sebelum dan selepas pelaksanaan penyasaran subsidi diesel.

Beliau berkata bagi tempoh 20 Mei hingga 9 Jun lepas, jumlah kes yang direkodkan ialah 65 kes dengan rampasan diesel sebanyak 520,803 liter, manakala bagi tempoh 10 Jun hingga 30 Jun lepas, iaitu 20 hari selepas penyasaran subsidi dilaksanakan, statistik menunjukkan hanya 14 kes melibatkan jumlah rampasan minyak diesel sebanyak 68,457 liter.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali. Foto BERNAMA

“Jumlah individu yang telah ditahan bersabit kes diesel juga berkurangan dalam tempoh yang sama iaitu daripada 40 orang kepada seorang sahaja.

“Perbandingan ini menunjukkan berlakunya penurunan jumlah kes yang signifikan,” katanya dalam kenyataan.

Berkuat kuasa 10 Jun lepas, kerajaan telah menetapkan harga runcit bahan api diesel pada RM3.35 seliter di semua stesen minyak di seluruh Semenanjung Malaysia, manakala harga runcit bahan api itu bagi Sabah, Sarawak dan Labuan kekal pada RM2.15 seliter.

Bagaimanapun, Armizan berkata terdapat peningkatan bagi rampasan petrol RON95 iaitu 37 kes, melibatkan sebanyak 17,064 liter bagi tempoh 20 Mei hingga 9 Jun lepas, berbanding 46 kes dengan rampasan 14,011 liter selepas pelaksanaan penyasaran subsidi diesel.

Beliau berkata jumlah tangkapan pula meningkat daripada 10 kepada 17 orang bagi tempoh sama.

Bagi membanteras aktiviti tersebut, beliau berkata pihaknya akan terus meningkatkan tindakan penguatkuasaan dan pemantauan ke atas aktiviti penyelewengan barang kawalan menerusi Ops Tiris 3.0 di seluruh negara.

“Kerjasama rapat dengan agensi penguatkuasaan lain juga diadakan bagi memastikan isu ketirisan dapat diatasi secara menyeluruh dan berkesan,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :