Graduan Universiti Selangor (Unisel) menerima ijazah sempena istiadat konvokesyen ke-17 di Dewan Canselor Unisel kampus Bestari Jaya, Kuala Selangor pada 9 September 2023. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Menteri: Tiada pelajar lepasan SPM tercicir sambung pengajian ke universiti

SHAH ALAM, 11 JULAI: Kementerian Pendidikan (KPM) memberi jaminan tiada pelajar lepasan Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM) tercicir daripada data bagi melanjutkan pelajaran ke institut pengajian tinggi (IPT).

Menterinya Fadhlina Sidek berkata kementerian sedang mengambil semua tindakan susulan bagi memastikan semua markah Pentaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan dan Kokurikulum (PAJSK) tidak hilang.

“Bagi sesi persekolahan 2023/2024, KPM telah membangunkan sebuah sistem bersepadu dikenali sebagai Pengurusan Pentaksiran Bersepadu (MOIES) yang digunakan sepenuhnya sekolah bawah KPM.

“Bagi sekolah selain bawah pentadbiran KPM, laporan dan pengumpulan skor PAJSK perlu dikemukakan secara ‘offline’ melalui templat seragam untuk dihantar ke Bahagian Kemasukan Pelajar IPTA, Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) bagi tujuan tawaran ke IPTA,” katanya.

Beliau berkata demikian menjawab soalan Wan Razali Wan Nor (Kuantan-PN) berhubung prosedur PAJSK yang berbeza bagi sekolah selain bawah KPM susulan isu pelajar cemerlang tidak mendapat tempat di universiti di Dewan Rakyat, hari ini.

Fadhlina menambah, KPM sedang memperbaiki dan menambah baik sistem skor PAJSK membabitkan integrasi data di sekolah swasta dan di luar KPM.

Jelasnya, inisatif itu dijangka menambah baik kaedah pengumpulan data skor PAJSK murid sekolah swasta dengan penyediaan akses perekodan data PAJSK yang sama seperti sekolah kelolaan KPM.

“Selain itu, KPM juga bekerjasama dengan KPT bagi menyelaras data skor PAJSK agar isu itu tidak lagi berbangkit pada masa hadapan.

“Jaminan yang saya bagi adalah tiada murid tercicir daripada data kita untuk masuk ke universiti,” katanya.


Pengarang :