Petugas Majlis Perbandaran Sepang melaksanakan kerja pemangkasan pokok di zon utara Sepang baru-baru ini. Foto MPSepang
PBTSELANGOR

MPSepang potong 940 pokok usia lebih 20 tahun, berisiko tumbang

SEPANG, 26 JULAI: Majlis Perbandaran Sepang (MPSepang) melaksanakan kerja-kerja memotong dan memangkas 940 pokok di tiga zon di kawasan seliaannya yang dikenal pasti berisiko sejak Februari lalu.

Yang Dipertuanya Dato’ Abd Hamid Hussain memaklumkan tiga zon dikenal pasti memerlukan tindakan segera iaitu Cyberjaya (390), Utara (Puchong) (448) dan Selatan (Sepang Putra) (102) yang mana semuanya jenis khaya.

“Setakat ini, daripada jumlah tersebut 40 peratus daripadanya telah selesai dan dijangka selesai sepenuhnya menjelang Disember.

“Semua pokok ini perlu dilaksana kerja pemangkasan bagi kerana kebanyakan berusia lebih 20 tahun dan berisiko.

“Kos pelaksanaan agak tinggi iaitu bagi kerja menebang dianggar bernilai RM8,000 hingga RM10,000 sebatang manakala memangkas pula RM3,000 hingga RM5,000,” katanya hari ini.

Sebelum ini, keadaan cuaca tidak menentu menyebabkan kejadian pokok tumbang di beberapa kawasan termasuk ibu kota hingga mengorbankan seorang pemandu pada 7 Mei lalu.

Dalam perkembangan lain, Abd Hamid memaklumkan Pusat Kitar Semula Pandu Lalu Automatik (ADTReC) yang dilancar Mac lalu mendapat sambutan baik daripada penduduk dengan jumlah kutipan hampir 6,000 tan Jun lalu.

Kata Abd Hamid, pihaknya akan mempertingkat kempen kitar semula di peringkat sekolah, kediaman berstrata termasuk menubuhkan unit pendidikan awal tahun depan dikendali unit korporat.

“Kita juga memperkenalkan mesin kitar semula Reverse Vending Machine (RVM) yang diletakkan di ibu pejabat bagi galakkan kitar semula kepada kakitangan dan mereka yang hadir berurusan di sini,” ujarnya.


Pengarang :