Keadaan kolam tadahan air Skim Jaminan Air Mentah Selangor (SJAM) di Jenderam Hilir, Sepang pada 16 Februari 2023. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

Operasi pam air kolam diaktif jika kapasiti empangan susut hingga 60 peratus

SHAH ALAM, 31 JULAI: Operasi Pengepaman Air Kolam (OPAK) akan diaktifkan sebagai alternatif menghasilkan sumber air mentah baharu jika kapasiti air di tujuh empangan termasuk Kolam Takungan Sungai Labu (ORS) menyusut sehingga 60 peratus.

Pengarah Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) Hasrolnizam Shaari berkata sumber air dalam tanah yang dikenal pasti juga akan dimanfaat ketika musim kering berpanjangan lebih enam bulan bagi menjamin pertambahan air mentah.

“Kajian Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia mendapati air dalam tanah di Selangor berkapasiti lebih 2,000 juta liter sehari (MLD). Kita boleh buat pengeluarannya dan disalir ke sungai berdekatan loji rawatan air (LRA).

“Ini menjadikan simpanan air yang ada boleh bertahan sehingga setahun tiga bulan dari sembilan bulan sedia ada (simpanan dari empangan dan kolam hiliran). Kita sudah dokumenkan perkara ini termasuk bangunkan prosedur kerja,” katanya.

Mengulas operasi pembenihan awan yang menjadi antara usaha menambah kapasiti air di empangan, beliau berkata Selangor tidak mengutamakan kaedah itu berikutan proses kerja rumit selain tiada jaminan air turun di kawasan memerlukan.

Bagaimanapun Hasrolnizam dalam wawancara khas bersama Media Selangor hari ini menjelaskan kaedah terbabit hanya akan diguna pakai sekiranya paras air di empangan dan kolam hiliran menyusut sehingga 30 peratus susulan krisis luar jangka.

“Jika Selangor tidak menerima hujan dan musim kering berterusan lebih enam bulan baru kita kena fikir dan bersedia alternatif selanjutnya termasuk pembenihan awan.

“Selangor pernah ada pengalaman guna kaedah pembenihan awan untuk menghasilkan air mentah pada 2014 dan 2016. Kemudian kita mengorak langkah ambil pendekatan proaktif dengan membuat nilai tambah serta penambahbaikan,” katanya lagi.


Pengarang :