AGENDAJENAYAH

Pekebun direkod keterangan kes remaja termakan biskut beracun

CHUKAI, 15 JULAI: Polis merekodkan keterangan seorang pekebun hari ini bagi membantu siasatan kejadian remaja lelaki yang dimasukkan ke hospital selepas termakan biskut dipercayai dicampur racun di sebuah kebun di sini, Jumaat lalu.

Ketua Polis Daerah Kemaman Supt Hanyan Ramlan berkata lelaki berusia 70-an itu hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah Kemaman, di sini 2 petang tadi.

“Kita (polis) panggil dia untuk beri keterangan terlebih dahulu. Sama ada dia akan ditangkap atau tidak, perkara itu masih dalam kajian,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata sampel biskut itu juga telah dihantar ke Jabatan Kimia untuk dianalisis.

Semalam Hanyan berkata dalam kejadian kira-kira 2 petang Jumaat lalu, remaja terbabit yang tinggal di Kampung Air Putih di sini, dalam perjalanan dari rumahnya ke sungai untuk memancing sebelum mengambil biskut yang diletakkan di dalam plastik di kebun terbabit.

Selepas itu remaja berkenaan Mohd Daynail Haikal Alias, 13, dikatakan rebah tidak sedarkan diri dan dibawa ke Klinik Kesihatan Air Putih oleh bapa rakannya, sebelum dirujuk ke Hospital Kemaman.

Bapanya Alias Saras, 57, ketika dihubungi berkata anaknya dijangka keluar dari hospital petang ini.

“Insya-Allah dia akan pulang ke rumah hari ini. Sekarang kami sedang menunggu surat kebenaran untuk keluar wad. Keadaannya sudah semakin pulih dan ada selera makan hari ini,” katanya sambil menzahirkan rasa syukur kerana anaknya selamat.

Menurut Alias, Mohd Daynail Haikal bagaimanapun masih trauma apabila terkenangkan kejadian itu.

– BERNAMA


Pengarang :