Menteri Pengangkutan Loke Siew Fook (tengah) ketika meninjau tapak projek LRT3 laluan Shah Alam di Stesen MRT, Pasar Jawa, Klang pada 29 Julai 2024. Foto Facebook Ganabatirau Veraman
AGENDANASIONAL

Pembinaan LRT3 siap 95.6 peratus, jangka operasi suku ketiga 2025

KLANG, 29 JULAI: Projek pembinaan Transit Aliran Ringan 3 (LRT3) melibatkan jajaran dari Bandar Utama ke Johan Setia di Selangor dijangka siap dan mula beroperasi menjelang suku ketiga tahun hadapan.

Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata setakat ini kerja pembinaan jajaran yang meliputi pembinaan 20 stesen itu telah mencapai 95.6 peratus dan akan selesai pada Oktober ini.

Beliau berkata ia kemudiannya akan diikuti dengan kerja pengintegrasian sistem yang dijangka mengambil masa beberapa bulan hingga awal tahun hadapan.

“Selepas proses itu, kita akan bersedia untuk buat proses pengujian dan pentauliahan yang akan mengambil masa tiga ke empat bulan sebelum mula beroperasi menjelang suku ketiga tahun hadapan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau perkembangan terkini projek pembinaan LRT3 di Stesen Pasar Jawa di sini hari ini.

Loke berkata tempoh jangkaan operasi sedikit lewat berbanding jangkaan asal pada Mac tahun hadapan antara lain disebabkan kerja-kerja yang tidak dapat dilakukan semasa pandemik Covid-19.

Dalam pada itu, Loke berkata mesyuarat Jemaah Menteri pada 5 Julai lepas turut bersetuju mengembalikan skop asal LRT3 yang membabitkan lima stesen iaitu Tropicana, Temasya, Raja Muda, Bukit Raja dan Bandar Botanik.

Beliau berkata pengembalian lima stesen itu adalah bersama dengan pembelian tambahan tujuh set tren tiga gerabak, pembesaran depoh tren di Johan Setia dan pembelian 150 bas elektrik untuk penghantaran serta pembinaan dua depoh bas.

Proses itu katanya akan melibatkan tambahan kos sebanyak RM3.8 bilion termasuk kos mewujudkan bas perantara antara stesen pertama dan terakhir bagi memantapkan perkhidmatan LRT3 tersebut.

“Tambahan bagi skop asal dan kerja-kerja lain akan mengambil masa dua tahun, namun tidak akan memberikan kesan kepada tarikh pembukaan dan operasi bagi 20 stesen berkenaan,” katanya.

Loke berkata pengembalian lima stesen itu membuktikan komitmen kerajaan untuk terus menambah baik serta menyumbangkan kepada penggunaan pengangkutan awam khususnya di Lembah Klang.

Beliau berkata hal ini kerana laluan berkenaan akan memberikan perkhidmatan kepada beberapa kawasan yang berkepadatan tinggi terutamanya dari Bandar Utama, Shah Alam dan Klang yang sebelum ini tiada sistem LRT.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Belanjawan 2024 mengumumkan kerajaan akan meneruskan semula cadangan pembinaan lima stesen LRT3 merangkumi stesen Tropicana, Raja Muda, Temasya, Bukit Raja dan Bandar Botanik yang dibatalkan sebelum ini dengan membabitkan kos RM4.7 bilion.

Projek pembinaan LRT3 yang bermula di Bandar Utama dan berakhir di Johan Setia itu dijangka menelan belanja kira-kira RM16 bilion.

Dalam perkembangan lain, Loke berkata kementerian telah mempunyai keputusan berhubung pelaksanaan menaik taraf lesen motosikal bagi kelas B2 kepada B penuh secara automatik, dan perkara itu akan diumumkan dalam masa terdekat.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebelum ini dilaporkan berkata had umur dan tempoh pemilikan lesen memandu kelas B2 bagi motosikal adalah antara perkara yang perlu dipertimbangkan sebelum cadangan naik taraf kepada lesen kelas B secara automatik dapat diputuskan.

-BERNAMA

 


Pengarang :