EXCO Alam Sekitar Jamaliah Jamaluddin mengadakan lawatan tapak dan operasi bersepadu pembakaran sampah haram di Jalan Sijangkang Utama, Kuala Langat pada 29 Julai 2024. Foto Facebook Jamaliah Jamaluddin
EXCOSELANGOR

Pemilik tanah diarah bersih kawasan, lucut hak jika gagal patuhi arahan

SHAH ALAM, 30 JUL: Pemilik tanah di tapak pembakaran sampah haram dekat Jalan Sijangkang Utama, Kuala Langat diarah melakukan pembersihan kawasan itu dalam tempoh 120 hari mulai 22 Julai lalu.

EXCO Alam Sekitar Jamaliah Jamaluddin berkata tindakan tegas diambil Pejabat Daerah dan Tanah Kuala Langat dengan mengeluarkan notis 7A (untuk memulihkan pelanggaran syarat) di bawah Seksyen 128 Kanun Tanah Negara (Akta 828) susulan lawatan ke tapak berkenaan.

Jelasnya notis 7A dikeluarkan kerana terdapat pelanggaran syarat oleh pemilik yang menjadikan tanah pertanian sebagai tempat mengumpul atau melupus sampah secara haram.

“Kerajaan Negeri seterusnya berhak mengambil tindakan melucuthak tanah tersebut sekiranya pemilik gagal mematuhi arahan sebagaimana yang dinyatakan dalam Notis 7A,” katanya dalam kenyataan.

Menjelaskan sisa dibuang di tapak itu adalah sisa pepejal komersial atau perindustrian dan bukan e-sisa, Jamaliah berkata siasatan mengesahkan aktiviti pembakaran kerap berlaku di tapak tersebut.

“Susulan lawatan tapak ini tindakan pemantauan lebih kerap setiap hari di kawasan tersebut dilaksanakan oleh MPKL (Majlis Perbandaran Kuala Langat) dan pemerhatian melalui kamera litar tertutup (CCTV) bagi memastikan tiada aktiviti mengumpul atau melupus sampah baru di tapak.

“MPKL turut mengeluarkan notis mengikut Seksyen 70A(1) Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 pada 1 Julai yang memperuntuk tiada seseorang pun boleh memulakan atau menjalankan kerja tanpa kelulusan Pihak Berkuasa Tempatan, sabit kesalahan penjara maksimum lima tahun atau denda maksimum RM50,000 atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Mengulas lanjut katanya Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari mengikuti rapat isu ini dan memandang serius tindakan tidak bertanggungjawab itu selain akan turut menjalankan lawatan tapak sekiranya masih tidak dapat diselesaikan.

“Orang ramai terutama pemilik tanah mesti mematuhi peraturan, syarat dan undang-undang ditetapkan selain diingatkan tidak terlibat dalam aktiviti yang menyebabkan pencemaran kepada alam sekitar,” katanya.

Tambahnya operasi bersepadu pemadaman kebakaran di tapak dilaksanakan Unit Pengurusan Becana Negeri selain agensi dan jabatan seperti MPKL, PANTAS MPKL, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

“Operasi pemadaman menggunakan kaedah ‘direct attack’ dan jengkaut untuk mengorek timbunan sampah bagi memudahkan kerja pemadaman,” katanya.

Menurut Jamaliah, memandangkan tapak itu mengumpulkan sisa pepejal komersial atau perindustrian, isu turut dibawa kepada perhatian EXCO Kerajaan Tempatan.

“Antara cadangan dibincangkan adalah menutup laluan masuk dengan kawalan ketat supaya tidak ada mana-mana pihak boleh mengakses kawasan tersebut bagi tujuan membuang atau melupus sampah secara haram.

“Hanya pemilik tanah dibenarkan masuk menjalankan aktiviti pembersihan atau aktiviti lain yang tidak bercanggah dengan syarat dan undang-undang,” katanya.


Pengarang :