Ketua Hamas Ismail Haniyeh memberi isyarat ketika menyampaikan ucapan berhubung keputusan Presiden AS Donald Trump mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel, di Bandar Gaza pada 7 Disember 2017. Foto REUTERS
AGENDANASIONAL

Pemimpin kerajaan, pembangkang kecam pembunuhan Ismail Haniyeh

SHAH ALAM, 31 JULAI: Pemimpin kanan Hamas Ismail Haniyeh dibunuh dalam serangan dari udara di ibu kota Iran hari ini, di tengah-tengah perang Gaza yang berlarutan lebih 10 bulan.

Menurut laporan Al Jazeera yang memetik kenyataan kumpulan yang mentadbir Gaza, Ismail dan seorang pengawal peribadinya terbunuh selepas kediaman mereka di Tehran digempur Israel, sekitar 2 pagi.

Beberapa kenyataan agensi antarabangsa melaporkan Ismail berada di Tehran untuk menghadiri majlis angkat sumpah presiden baharu republik Islam itu, Masoud Pezeshkian pada Selasa.

Berikut antara reaksi pemimpin kerajaan dan pembangkang berhubung pembunuhan kejam itu:

“Saya mengutuk sekeras-kerasnya pembunuhan Ketua Biro Politik Hamas saudara Ismail Haniyeh hari ini.

“Pembunuhan ini ternyata sangat tragik dan kejam yang jelas bertujuan untuk menggagalkan rundingan yang sedang berlangsung bagi mengakhiri kekejaman rejim Zionis Israel di Gaza yang telah meragut lebih dari 40,000 nyawa.

“Pembunuhan besar-besaran ini hanya boleh berlaku dimungkinkan dengan tanggapan bahawa tidak ada sesiapa yang akan dipertanggungjawabkan dan dihukum.”

-Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim

“Mesyuarat Jemaah Menteri hari ini mengecam sekeras-kerasnya pembunuhan pemimpin Hamas, Ismail Haniyeh di Tehran, Iran dan bersolidariti bersama dengan rakyat Palestin.

“Jemaah menteri turut menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga mantan perdana menteri Palestin itu dan menggesa siasatan segera dilakukan agar pihak yang bertanggungjawab terhadap pembunuhan tersebut dibawa ke muka pengadilan.

“Kerajaan Malaysia akan terus lantang menyuarakan sokongan serta bekerjasama dengan negara-negara lain dalam usaha mendesak pembebasan rakyat Palestin daripada sebarang bentuk kezaliman.”

-Jurucakap kerajaan Fahmi Fadzil

“Kerajaan Selangor mengecam sekeras-kerasnya pembunuhan Almarhum Ismail Haniyeh, pemimpin Hamas.

“Tindakan kejam rejim Zionis ini adalah tindakan berterusan mereka melanggar hak asasi manusia, undang-undang antarabangsa terhadap umat Islam di Palestin. Puluhan ribu nyawa telah terkorban dalam konflik di Timur Tengah terutama wanita dan kanak-kanak.

“Saya turut menzahirkan ucapan takziah kepada seluruh umat Islam di Palestin atas tragedi ini.”

-Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari

“Dewan Rakyat mengutuk sekeras-kerasnya kezaliman dan keganasan ini. Saya menyatakan solidariti dan kebersamaan saya dengan rakyat Palestin dan mendoakan agar penindasan terhadap rakyat Palestin dihentikan serta-merta. Al-Fatihah.”

-Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul

“Saya kini berada di Kaherah dan arahan telah dibuat. Kita dapatkan maklumat dulu. Jika (jenazah) sudah dimandikan, saya minta semua masjid Jakim dan Jawi untuk mengadakan solat ghaib.”

-Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Mohd Na’im Mokhtar

“PAS mengecam serangan Israel di ibu kota Iran, Tehran yang mengorbankan nyawa Ketua Politik Pasukan Pejuang Palestin Hamas, Ismail Haniyeh dan seorang pengawal peribadinya.

“PAS mengucapkan takziah kepada keluarga Ismail Haniyeh atas tragedi ini. Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas mereka dan dikurniakan ganjaran Syahid di sisi Allah.”

-Presiden PAS Tan Sri Abdul Hadi Awang

 

 

 

 


Pengarang :