Bantuan alternatif melalui lori tangki mula digerakkan kepada pengguna dengan keutamaan untuk premis kritikal susulan henti tugas LRA Langat 2 pada 11 Ogos 2022. Foto Facebook Air Selangor
AGENDANASIONAL

Pemulihan bekalan air capai lebih 55 peratus setakat 9 malam

SHAH ALAM, 24 JULAI: Status pemulihan bekalan air di kawasan terlibat henti tugas sementara empat loji rawatan air (LRA) mencapai 55.2 peratus setakat 9 malam.

Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) memaklumkan pemulihan bekalan dijangka mencapai 40 peratus pada jam 8 pagi esok diikuti 90 peratus pada 8 malam.

“Waktu pemulihan penuh bagi kawasan yang terlibat adalah dijangka pada jam 8 pagi Jumaat,” katanya menerusi kenyataan.

Air Selangor terus menggerakkan lori tangki air ke kawasan yang masih terjejas dengan memberikan keutamaan kepada premis kritikal seperti hospital, klinik, pusat dialisis dan upacara pengebumian.

Bantuan bekalan air alternatif menerusi 17 Pusat Khidmat Setempat (PKS) turut disediakan untuk kemudahan pengguna di lokasi yang tersenarai.

Orang ramai boleh mendapatkan maklumat dari semasa ke semasa menerusi saluran komunikasi rasmi https://waterupdates.airselangor.com/ selain Facebook, Instagram dan X.

Air Selangor juga boleh dihubungi di talian 15300 atau layari https://www.airselangor.com/

Susulan pencemaran bau di Sungai Kundang dan Sungai Sembah, Air Selangor terpaksa menghenti tugas sementara LRA Rantau Panjang, SSP1, SSP2 dan SSP3.

Berikutan itu, tujuh wilayah iaitu Petaling, Klang, Shah Alam, Gombak, Kuala Lumpur, Hulu Selangor dan Kuala Selangor mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual.


Pengarang :