Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari membentang Kajian Separuh Penggal Rancangan Selangor Pertama (RS-1) dalam sidang Dewan Negeri Selangor (DNS) di Bangunan Annex, Shah Alam pada 4 Julai 2024. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/MEDIA SELANGOR
AGENDANASIONAL

Pendapatan isi rumah capai RM9,983, lepasi sasaran RMK-12

SHAH ALAM, 4 JULAI: Pendapatan isi rumah penengah di Selangor melepasi sasaran Rancangan Malaysia ke-12, kata Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari.

Membentang Kajian Separuh Penggal Rancangan Selangor Pertama (RS-1), beliau memberitahu pendapatan bulanan terkini kumpulan itu mencapai RM9,983 berbanding RM9,290 menjelang 2025.

“Kejayaan ini mencerminkan kestabilan dan kemajuan ekonomi di Selangor serta usaha berterusan Kerajaan Negeri dalam meningkatkan kualiti hidup rakyat,” katanya di Dewan Negeri Selangor.

Pendapatan isu rumah penengah antara satu daripada empat petunjuk makro bawah Teras 2 Peningkatan Kesejahteraan dan Keterangkuman Sosial dalam dokumen RS-1.

Amirudin menjelaskan teras berkenaan menjadi asas penting meliputi 98 Projek, Program dan Inisiatif (PPI) yang disusun dalam enam bidang tumpuan dan diterap melalui 21 strategi utama.

Beliau memberitahu sebanyak 12 PPI atau 12 peratus telah siap dilaksanakan manakala 86 lagi bersamaan 88 peratus masih dalam proses pelaksanaan.

“Pelaksanaan tema strategik ini diukur melalui 98 PPI, dengan penekanan pada pencapaian empat petunjuk makro,” kata beliau lagi.


Pengarang :