Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari (tengah) merasmikan Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) 2023 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), Kuala Lumpur pada 19 Oktober 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Peningkatan KDNK bukti komuniti perniagaan, rakyat yakin pentadbiran negeri

SHAH ALAM, 2 JUL: Peningkatan sumbangan ekonomi Selangor kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) nasional membuktikan komuniti perniagaan dan rakyat bertambah yakin kepada pentadbiran negeri yang selari dengan persekutuan.

Dato’ Menteri Besar bagaimanapun berkata kejayaan itu tidak harus dipandang ringan sebaliknya ia mendorong seluruh pasukan negeri manfaatkan peluang itu sebaiknya bagi mencapai pertumbuhan ekonomi yang mampan.

“Ini termasuk meningkatkan prestasi ekonomi di peringkat daerah, perkhidmatan pihak berkuasa tempatan dan mencari penyelesaian mampan kepada perubahan iklim.

“Selain itu, kualiti infrastruktur dan peremajaan bandar matang juga perlu ditingkatkan supaya negeri ini bukan sahaja maju tetapi berdaya huni,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari menerusi kenyataan hari ini.

Pengunjung tertarik melihat robot pintar di reruai Entomal Biotech pada Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) 2023 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), Kuala Lumpur pada 22 Oktober 2023. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

Amirudin menjelaskan pendekatan itu juga berupaya meyakinkan pelabur tempatan dan luar negara bahawa Selangor mampu menjadi negeri pelaburan pilihan utama di Asia Tenggara.

“Saya mengucapkan tahniah kepada seluruh pasukan pentadbiran di Selangor termasuk Setiausaha Kerajaan Negeri, Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO), pentadbiran di daerah dan PBT serta komuniti pelabur dan setiap pekerja di negeri ini.

“…yang telah menyumbang kepada prestasi ekonomi negeri pada 2023 kerana kejayaan ini bukan usaha mana-mana individu tetapi merupakan kejayaan kita bersama,” katanya.

Orang ramai melawat reruai pada Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) 2023 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), Kuala Lumpur pada 19 Oktober 2023. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

Laporan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) hari ini menunjukkan sumbangan ekonomi Selangor kepada KDNK nasional meningkat kepada 25.9 peratus pada 2023, bertambah lebih baik daripada 25.5 peratus tahun sebelumnya.

Pertumbuhan ekonomi negeri ini juga meningkat sebanyak 5.4 peratus, melebihi pertumbuhan sederhana seluruh negara pada kadar 3.6 peratus tahun lalu.


Pengarang :