Pegawai Pemerintah Pasukan Polis Marin Wilayah 3 Pengkalan Kubor ASP Akil Abd Rauf (kanan) menunjukkan tong drum yang diubah suai sebagai tangki tambahan bagi tujuan menyeludup bahan api ketika ditemui pada 3 Julai 2024 di Kota Bharu. Foto BERNAMA
AGENDAJENAYAH

Penyeludup ubah suai tong drum sebagai tangki seludup petrol

KOTA BHARU, 3 JULAI: Sindiket penyeludupan bahan api di sempadan Malaysia-Thailand kini dikesan menggunakan modus operandi baharu apabila menjadikan tong drum yang diubah suai sebagai tangki untuk menyeludup petrol RON95 dalam kuantiti berlebihan.

Taktik berkenaan dikesan hasil penahanan dua kereta jenis Proton Wira Aeroback oleh Pasukan Polis Marin Wilayah 3 Pengkalan Kubor, Tumpat Khamis lalu.

Menurut sumber kedua-dua kenderaan itu masing-masing mengisi lebih 200 liter minyak petrol, disyaki dibeli di sekitar stesen minyak yang berada 25 kilometer dari sempadan.

“Kedua-dua kenderaan itu ditahan sepasukan Polis Marin berdekatan pangkalan haram Pok Mat di Kampung Simpangan, Tumpat iaitu lokasi kes tembakan penyeludup ke atas anggota Kastam pada 19 Jun lalu.

“Dalam serbuan itu anggota kumpulan penyeludup dipercayai melarikan diri dan meninggalkan kereta berisi petrol itu sebaik mendapat maklumat kedatangan pihak berkuasa,” katanya hari ini.

Beliau memaklumkan bahan api berjumlah lebih 400 liter itu dipercayai disedut keluar untuk diisi semula ke dalam tong plastik sebelum diseludup ke negara jiran menggunakan bot enjin galah.

“Pemeriksaan ke atas kedua-dua kenderaan itu juga mendapati pada bahagian penutup tangki mempunyai dua lubang iaitu lubang ke tangki minyak biasa dan satu lagi lubang ke tangki diubah suai,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Pemerintah Markas Operasi Polis Marin Wilayah 3 Pengkalan Kubor ASP Akil Abd Rauf berkata sejak Januari sehingga Jun tahun ini, polis merekodkan 14 kes melibatkan diesel dengan rampasan 45,251 liter bernilai RM97,113.

Beliau berkata kes melibatkan RON95 pula adalah 93 kes dengan rampasan 21,020 liter bernilai RM39,678.

– BERNAMA


Pengarang :