Peserta Program Pemecut Selangor (SAP) kohort keenam bergambar di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur pada 22 Oktober 2023. Foto ihsan Perbadanan Teknologi Maklumat dan Ekonomi Digital Selangor
AGENDANASIONAL

Perluas capaian niaga, daftar Program Pemecut Selangor hingga 9 Ogos

SHAH ALAM, 30 JULAI: Perbadanan Teknologi Maklumat dan Ekonomi Digital Selangor (Sidec) membuka permohonan bagi Program Pemecut Selangor (SAP24) kohort ketujuh sehingga 9 Ogos.

Berlangsung dari Ogos hingga November, inisiatif itu bagi memacu pertumbuhan syarikat pemula dengan menyediakan sokongan menyeluruh dan membuka peluang bagi capaian antarabangsa.

Dalam kenyataan, Sidec memaklumkan program kali ini menumpukan beberapa sektor seperti kecerdasan buatan, bioteknologi, penyelesaian net-zero, mobiliti dan sains hayat dengan bimbingan pakar.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Yong Kai Ping berkata pihaknya komited menyediakan sumber yang diperlukan, bimbingan serta peluang untuk membantu syarikat pemula berjaya di peringkat global.

Eksekutif e-Dagang Perbadanan Teknologi Maklumat dan Ekonomi Digital Selangor (Sidec) Mohamad Khairul Ikhwan Mohamad Saufi berucap dihadapan 40 wakil syarikat pemula terpilih menyertai latihan dan bimbingan percuma bawah Program Pemecut Selangor (SAP) di ibu pejabat Sidec di i-City, Shah Alam pada 23 Ogos 2023. Foto Facebook Sidec – Selangor Information Technology and Digital Economy Corporation

“Dengan sokongan rakan kongsi, kami teruja untuk melihat impak transformasi yang akan dibawa oleh kohort ini kepada ekosistem syarikat-syarikat pemula,” katanya.

Menurutnya, peserta akan bersaing untuk hadiah sehingga RM250,000 termasuk bimbingan, pendedahan jenama dan latihan perniagaan bagi 20 syarikat terbaik dalam pusingan akhir pada Oktober.

Menerusi SAP24, peserta juga akan memperoleh pengetahuan dan kemahiran melalui 14 bengkel komprehensif meliputi pelbagai bidang seperti strategi perniagaan dan pembangunan produk.

Manfaat tambahan termasuk mempamer idea dan inovasi dalam Konvensyen Bandar Pintar dan Ekonomi Digital Selangor (SDEC) pada 16 hingga 19 Oktober di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.

Peserta juga berpeluang memiliki keahlian eksklusif, rangkaian dalam Kelab CXO, tempat utama dalam Sandbox Selangor, mempromosi inovasi dan kerjasama perkhidmatan kepada rangkaian luas.

Sejak penubuhannya, SAP memupuk 190 syarikat permula dengan 41 peratus memperoleh pembiayaan sejak 2018, antaranya Nexmind AI, Seed Dream, Borong (dikenali sebagai Dropee) dan GFI Fintech.

Program itu disokong penaja utama Affin dan rakan kongsi pembayaran strategik Fiuu.


Pengarang :