Peniaga, Nurul Nadia A Rahman menyusun kuih raya yang dijual dengn harga 3 balang RM100 kepada pelanggan di Bazar Uptown Jalan Reko pada 29 Mac 2024. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Perniagaan capai jualan lebih RM150,000 wajib laksana e-Invois

SHAH ALAM, 2 JULAI: Semua perniagaan termasuk perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) yang mempunyai jualan tahunan lebih RM150,000 wajib mengeluarkan e-Invois mulai Julai 2025.

Menteri Kewangan II Senator Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata inisiatif itu akan dilaksanakan secara berperingkat berdasarkan nilai ambang hasil jualan perniagaan mulai Ogos tahun ini.

“Pelaksanaan ini bertujuan meningkatkan tahap pematuhan cukai dan seterusnya membantu kerajaan dalam menangani isu ekonomi bayangan manakala bagi peniaga termasuk PMKS, inisiatif ini dapat membantu perniagaan untuk mempunyai sistem perekodan jualan serta pembelian sekali gus penyimpanan dokumen yang lebih teratur.

“Mengambil maklum proses untuk mengadaptasi e-Invois memerlukan tempoh masa yang panjang berikutan cabaran dan kekangan yang dihadapi, peniaga kecil yang mempunyai jualan tahunan di bawah RM150,000 tidak perlu mengeluarkan e-Invois,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Menjawab soalan Khoo Poay Tiong (Kota Melaka-PH), Amir Hamzah memaklumkan dua kaedah penghantaran invois kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) boleh dilaksana iaitu penghantaran data melalui portal MyInvois dan Sistem Point of Sales (POS).

“Penggunaan portal MyInvois ini tidak melibatkan kos tambahan kepada PMKS kerana ia boleh diakses dan digunakan secara percuma.

“Kaedah kedua pula integrasi sistem perakaunan perniagaan dengan sistem MyInvois yang mana peniaga yang memilih untuk membangunkan sistem sendiri atau menggunakan pembekal teknologi, insentif cukai disediakan,” katanya.


Pengarang :