Pengerusi dan Pengurus pasukan Kejohanan Bola Sepak Sultan Selangor Tan Sri Dato’ Abd Karim Munisar (tengah) dan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Sepang (MPS) Dato’ Abd Hamid Hussain (lima, kiri) bersama wakil penerima tiket perlawanan program Siri Jelajah Promosi dan Penyerahan Tiket Piala Sultan Selangor 2024 di Ibu Pejabat MPS, Sepang pada 1 Julai 2024. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMASUKANKINI

Piala Sultan Selangor: Sambutan hangat, lebih 12,000 tiket terjual dalam seminggu

SEPANG, 1 JULAI: Perlawanan Piala Sultan Selangor (TSSC) dijangka hangat dengan kehadiran penonton apabila lebih 12,000 tiket terjual dalam tempoh seminggu sejak 24 Jun lalu.

Pengerusi dan pengurus TSSC berkata tiket pertarungan antara Selangor dan Singapura dijangka terjual sepenuhnya sebelum aksi berlangsung pada 17 Ogos di Stadium Merdeka.

Pengerusi dan Pengurus pasukan Kejohanan Bola Sepak Sultan Selangor Tan Sri Dato’ Abd Karim Munisar bercakap kepada media selepas program Siri Jelajah Promosi dan Penyerahan Tiket Piala Sultan Selangor 2024 di Ibu Pejabat Majlis Perbandaran Sepang, Sepang pada 1 Julai 2024. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

“Penjualan tiket TSSC sangat menggalakkan. Setakat ini lebih 12,000 dijual dan angka ini lebih separuh memandangkan kapasiti penonton di stadium hanyalah 20,000.

“Tiket tempat duduk utama (grandstand) juga mendapat permintaan tinggi. TSSC kali ini ditunggu peminat kerana perlawanan mengembalikan nostalgia pertembungan dua gergasi yang pernah beraksi di lokasi sama,” kata Tan Sri Abd Karim Munisar.

Terdahulu beliau mengetuai siri jelajah promosi TSSC di Majlis Perbandaran Sepang selain menyerahkan tiket perlawanan kepada Yang Dipertunya Dato’ Abd Hamid Hussain.

Pengerusi dan Pengurus Pasukan Perlawanan Piala Sultan Selangor Tan Sri Dato’ Abd Karim Munisar (kanan) menyerahkan tiket perlawanan kepada Yang Dipertua Majlis Perbandaran Sepang (MPS) Dato’ Abd Hamid Hussain ketika program Siri Jelajah Promosi dan Penyerahan Tiket Piala Sultan Selangor 2024 di Ibu Pejabat MPS, Sepang pada 1 Julai 2024. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Abd Karim memaklumkan tiket berharga RM10 dan RM30 selain jersi TSSC boleh dibeli di Restoran Uncle K (SACC Mall, Shah Alam serta Hotel Concorde Shah Alam dan Kuala Lumpur.

Beliau turut menasihati penonton untuk menaiki pengangkutan awam sistem tren Transit Aliran Ringan (LRT), Transit Aliran Massa (MRT) dan Monorel dengan waktu operasi dilanjutkan sehingga 12.30 tengah malam pada hari perlawanan.

Pilihan Selangor pernah meraih gelaran sebanyak sembilan kali iaitu pada 2001, 2003, 2005, 2008, 2012, 2013, 2014, 2018 dan 2019.

Sementara Pilihan Singapura pula pernah bergelar juara tujuh kali iaitu pada 2006, 2007, 2009, 2010, 2011, 2016 dan 2017.

Kakitangan MPSepang membeli jersi perlawanan ketika program Siri Jelajah Promosi dan Penyerahan Tiket Piala Sultan Selangor 2024 di Ibu Pejabat Majlis Perbandaran Sepang, Sepang pada 1 Julai 2024. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Kedua-dua pasukan turut berkongsi kejuaraan pada 2015 memandangkan perlawanan terpaksa dibatalkan susulan jerebu.

Kali terakhir TSSC diadakan pada 2019 yang mana Pilihan Selangor menewaskan Pilihan Singapura 1-0.


Pengarang :