AGENDANASIONAL

Pindaan akta tangani isu akaun keldai, kembalikan hak mangsa penipuan dalam talian

SHAH ALAM, 4 JULAI: Pindaan terhadap Kanun Tatacara Jenayah (Akta 593) dan Kanun Keseksaaan (Akta 574) bagi memastikan isu jenayah siber termasuk akaun keldai dan penipuan wang dalam talian ditangani secara berkesan.

Dijangka dibentangkan pada sesi Parlimen kali ini Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) berkata pindaan dicadangkan termasuk pewujudan kesalahan baharu berkaitan tindakan kepada pihak yang membenarkan akaun bank mereka digunakan pihak lain tanpa kuasa sah.

Dato’ Seri Azalina Othman Said berkata ia bagi tujuan menangani akaun keldai (mule acount) selain memberikan kuasa kepada pegawai penyiasat untuk mengarahkan penyitaan akaun bank yang disyaki terlibat dengan aktiviti jenayah siber.

Katanya cadangan pindaan yang sedang dipertimbang itu juga akan membenarkan polis menghalang wang mangsa penipuan jenayah dalam talian dikeluarkan atau digunakan.

“Ia juga akan memudahkan polis untuk melakukan penjejakan wang bagi mengenal pasti wang mangsa yang telah ditipu dan secara tidak langsung ia membuka ruang untuk pemulangan (semula) wang ini kepada mangsa,” katanya menjawab soalan Ahli Parlimen Jelutong RSN Rayer yang ingin tahu status penggubalan perundangan berkaitan akaun keldai di Dewan Rakyat hari ini.

Katanya kedua-dua cadangan pindaan ini dijangka dibawa dan dibentangkan dalam sesi Parlimen kali ini setelah memperolehi pertimbangan jemaah menteri dalam masa terdekat.

Mengulas lanjut katanya kebanyakan aktiviti penipuan dalam talian digerakkan menggunakan akaun bank milik orang lain sebagai tempat persinggahan sementara wang dipindahkan ke akaun lain.

“Apabila siasatan dijalankan terhadap pemilik akaun, didapati akaun mereka telah disewakan atau diberi akses kepada orang lain secara sukarela atau sebaliknya.

“Yang menyukarkan proses siasatan adalah pemilik akaun ini kebiasaannya tidak mengenali pihak ketiga yang telah menyalahgunakan akaun bank mereka sebagai medium transit,” katanya.

Katanya, setakat ini lebih RM581.3 juta jumlah kerugian wang direkodkan daripada kes penipuan dalam talian tahun ini.


Pengarang :