Tangkap layar video Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim merakamkan ucapan takziah kepada pemimpin Hamas Ismail Haniyeh susulan kematian keluarganya dalam serangan udara Israel pada 11 April 2024.
AGENDANASIONAL

PM: Pembunuhan Ismail Haniyeh kejam, hilang sahabat, tokoh pejuang Palestin

KUALA LUMPUR, 31 JULAI: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengutuk pembunuhan Ketua Biro Politik Hamas, Ismail Haniyeh.

Beliau berkata ia merupakan pembunuhan sangat tragik dan kejam, jelas bertujuan menggagalkan rundingan yang berlangsung bagi mengakhiri kekejaman Israel di Gaza yang meragut lebih 40,000 nyawa.

“Pembunuhan besar-besaran ini hanya boleh berlaku, dimungkinkan dengan tanggapan bahawa tidak ada sesiapa akan dipertanggungjawabkan dan dihukum.

“Hanya mereka yang tiada sifat kemanusiaan sahaja yang tidak menyedari keperluan untuk meningkatkan tekanan terhadap rejim biadab Zionis Israel bagi menghentikan pembantaian,” katanya dalam catatan di Facebook, hari ini.

Anwar berkata rakyat Palestin telah dihadapkan dengan malapetaka dan penderitaan selama berdekad lamanya, dan beliau amat bimbang dengan nasib yang akan menimpa mereka susulan pembunuhan Ismail.

“Saya berduka atas kehilangan seorang sahabat yang akrab dan tokoh pejuang sejati rakyat Palestin,” katanya.

Anwar menerusi hantaran sama turut berkongsi video perbualan telefon beliau bersama ahli biro politik Hamas, Dr Basem Naim.

Dalam perbualan itu Perdana Menteri antara lain menyampaikan pesanan kepada Dr Basem mengenai pendirian bahawa Malaysia akan tetap teguh mendukung perjuangan untuk sebuah negara Palestin merdeka.

“Allahyarham Ismail adalah tonggak perjuangan ini (Palestin), dan salah satu hal yang diperjuangkan adalah perjanjian damai bagi mengembalikan hak rakyat Palestin. Jelas ada unsur sabotaj. Mereka tidak mahu perjanjian damai ini berjaya,” katanya.

Anwar pada masa sama turut menzahirkan rasa sangat marah terhadap kegagalan masyarakat antarabangsa dalam memastikan keamanan serta keadilan ditegakkan, dan memberitahu bahawa Malaysia akan terus melakukan yang terbaik bagi mengutuk kekejaman yang dilakukan rejim Zionis.

Dr Basem di dalam perbualan itu seterusnya menzahirkan keyakinan terhadap sokongan teguh Anwar dan rakyat Malaysia dengan menyifatkan Perdana Menteri amat lantang dan komited dalam menyokong perjuangan Palestin.

– BERNAMA


Pengarang :