Semua 12 PBT menyediakan perkhidmatan melalui laman sesawang dan aplikasi digital sepanjang tempoh PKP mulai 1 Jun. Foto ARKIB SELANGORKINI
AGENDAJENAYAH

Polis, jabatan peguam, MCMC selaras siasatan kes jenayah siber

KUALA LUMPUR, 24 JULAI: Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Peguam Negara (AGC), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) akan meneliti dan mengambil tindakan segera untuk memantapkan serta menyelaras aspek siasatan dan pendakwaan kes-kes jenayah dalam talian.

Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata perkara itu antara yang diputuskan oleh Jemaah Menteri dalam Mesyuarat Kabinet di Putrajaya hari ini.

“Jenayah dalam talian ini terutama scam, buli siber dan jenayah seksual kepada kanak-kanak meninggalkan kesan mendalam sama ada dari aspek kesihatan mental, dan juga masalah-masalah lain, ia antara sebab kenapa kita putuskan perkara ini,” katanya dalam sidang media di Putrajaya hari ini.

Beliau berkata isu jenayah dalam talian, masalah scam dan jenayah seksual terhadap kanak-kanak dalam negara tidak boleh dibenarkan terus berlarutan dan susulan itu, MCMC telah mengeluarkan surat arahan kepada sejumlah platform media sosial untuk mendapatkan maklum balas berkaitan.

Fahmi berkata berdasarkan pemantauan MCMC, setiap platform media sosial juga mempunyai tahap pematuhan yang berbeza, dengan ada yang lebih pantas dan akur, ada yang langsung tidak akur, dan sangat lewat untuk menjawab pihak berkuasa.

Beliau berkata Instagram mempunyai kadar pematuhan 88 peratus diikuti Facebook (85 peratus), WhatsApp (79 peratus), TikTok (76 peratus), Telegram (65 peratus) dan yang paling rendah platform X dengan 25 peratus.

“Setiap platform ini pula ada masalah jenayah dalam talian atau kandungan yang boleh membahayakan keselamatan rakyat,” katanya.

Antara kandungan berbahaya dan berunsur penipuan dalam Facebook termasuk judi dalam talian dan Kecerdasan Buatan yang memudaratkan, TikTok (buli siber, akaun palsu, 3R atau ‘agama, raja dan kaum’), Telegram (3R, judi dalam talian, filem cetak rompak, pornografi kanak-kanak) manakala di X meliputi kandungan 3R, buli siber dan pengantunan seksual kanak-kanak.

-BERNAMA


Pengarang :