AGENDAJENAYAH

Polis tahan tiga lelaki curi kabel, dipercayai terlibat 11 kes sama di Kemaman

CHUKAI, 3 JULAI: Polis menahan tiga lelaki disyaki terlibat dengan kegiatan mencuri kabel di sekitar daerah Kemaman.

Ketua Polis Daerah Kemaman Supt Hanyan Ramlan berkata tiga suspek yang berusia 25 hingga 35 tahun itu ditahan oleh dua anggota polis yang sedang melakukan rondaan di sekitar kawasan ibu sawat sebuah syarikat penyedia utiliti di Bandar Cheneh Baru di sini, kira-kira 2 pagi tadi.

Beliau berkata ketiga-tiga mereka menaiki sebuah kenderaan pacuan empat roda yang mempunyai logo palsu sebuah syarikat telekomunikasi.

“Pasukan peronda yang menjalankan pemantauan telah terserempak dengan sebuah kenderaan Toyota Hilux yang mencurigakan dinaiki tiga lelaki di tepi jalan besar di hadapan ibu sawat syarikat penyedia utiliti.

“Pemeriksaan menemukan dua unit pemotong kabel berwarna kuning yang disyaki digunakan untuk mencuri kabel,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kemaman, di sini hari ini.

Hanyan berkata polis telah merampas kenderaan dan beberapa barangan lain milik suspek untuk siasatan lanjut.

Beliau berkata susulan tangkapan itu pihaknya telah berjaya menyelesaikan 11 kes curi kabel di daerah Kemaman yang bukan sahaja mengakibatkan kerugian besar kepada syarikat, malah menjejaskan kehidupan seharian penduduk.

“Permohonan reman selama empat hari telah dibuat untuk siasatan lanjut. Kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan.

Dalam masa sama Hanyan turut meminta orang ramai supaya melaporkan kepada polis sekiranya mempunyai maklumat berkaitan kes curi kabel. — BERNAMA


Pengarang :