Bangunan Kementerian Luar Negara di Putrajaya. Foto Arkib Selangorkini
AGENDAGLOBAL

Rakyat Malaysia di Kenya dinasihat terus waspada susulan protes jalanan

KUALA LUMPUR, 25 JULAI: Rakyat Malaysia di kawasan terjejas akibat protes jalanan yang berterusan di Kenya — kini memasuki minggu keenam, dinasihatkan untuk terus berwaspada dan mengikuti arahan serta panduan terkini yang diberikan oleh pihak berkuasa tempatan.

Kementerian Luar Malaysia (Wisma Putra) dalam satu kenyataan pada Khamis berkata melalui Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Nairobi, pihaknya sedang memantau dengan teliti situasi di Kenya dan berhubung dengan semua rakyat Malaysia yang berdaftar di negara itu.

Kementerian Luar menggesa mereka untuk terus berkomunikasi dengan Suruhanjaya Tinggi bagi menerima maklumat terkini dan sokongan jika perlu.

“Suruhanjaya Tinggi sentiasa bersedia untuk memberikan bantuan dan memastikan keselamatan mereka,” kata kenyataan itu.

Untuk bantuan konsular, rakyat Malaysia boleh menghubungi Suruhanjaya Tinggi melalui alamat di 611, Runda Grove, Runda, P.O. Box 42286, Nairobi atau melalui telefon di +254 (01) 11052710 atau +254 741 603952 dan melalui e-mel di [email protected]

Sehingga kini, sekurang-kurangnya 50 penunjuk perasaan telah terbunuh dan 413 lagi cedera sejak protes bermula pada 18 Jun, lapor media antarabangsa menurut Suruhanjaya Kebangsaan Hak Asasi Manusia Kenya.

– BERNAMA


Pengarang :