Bangunan Kementerian Luar Negara di Putrajaya. Foto Arkib Selangorkini
AGENDANASIONAL

Rakyat Malaysia diminta berjaga-jaga, taufan kuat hampiri Jamaica

KUALA LUMPUR, 3 JULAI: Rakyat Malaysia di Jamaica dan negara Caribbean lain disaran berjaga-jaga kerana Hurikan Beryl, Hurikan Kategori-4, dijangka melanda Jamaica.

Kementerian Luar (Wisma Putra) melalui Kedutaan Besar Malaysia di Havana, Cuba sedang memantau rapi pergerakan hurikan itu, menurutnya dalam satu kenyataan.

Kedutaan itu mengekalkan hubungan secara tetap dengan rakyat Malaysia di kawasan terjejas, termasuk Kepulauan Cayman, Cuba, Republik Dominican, Haiti dan Kepulauan Turks & Caicos.

Wisma Putra menasihatkan semua rakyat Malaysia untuk mengikuti perkembangan terkini dan panduan yang diberikan pihak berkuasa tempatan untuk memastikan keselamatan mereka.

Rakyat Malaysia yang memerlukan bantuan konsular dinasihatkan hubungi Kedutaan Besar Malaysia di Havana, di alamat No 6612, 5th Avenue dan 68 Street, Miramar, Playa, Havana, Cuba atau di talian +53 7204 8883 / +53 7204 8884 dan menerusi e-mel [email protected].

Wisma Putra akan terus memantau situasi berkenaan dan memberikan kemas kini kepada orang ramai mengenai sebarang perkembangan yang signifikan, katanya.

Menurut laporan media antarabangsa, Hurikan Beryl menuju ke Jamaica semalam selepas mengorbankan sekurang-kurangnya lima orang dan menyebabkan kemusnahan meluas di seluruh Caribbean tenggara, membawa angin kencang dan gelombang ribut ketika ia mendekati.

– BERNAMA


Pengarang :