EXCO Belia dan Sukan Mohd Najwan Halimi melakukan gimik perasmian Pusat Kecemerlangan Sukan Memanah Selangor di Sekolah Kebangsaan Saujana Impian, Kajang pada 18 Oktober 2023. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

Rancak pembangunan sukan, negeri peruntuk RM8 juta tahun ini

SHAH ALAM, 4 JULAI: Sejumlah RM8 juta diperuntuk bagi merancakkan lagi sektor sukan tahun ini termasuk menampung kos persediaan negeri berdepan cabaran Sukan Malaysia (SUKMA) Sarawak bulan depan.

EXCO Sukan Najwan Halimi berkata jumlah berkenaan meningkat RM1 juta berbanding dana RM7 juta pada tahun-tahun sebelumnya bagi melaksana lebih banyak program pembangunan sukan.

“Setiap tahun Kerajaan Negeri memperuntuk RM7 juta tapi tahun ini RM8 juta sebab kita berdepan kejohanan SUKMA. Walaupun berdepan kekangan (kewangan), kita masih dapat kerjasama agensi, anak syarikat dan pihak berkuasa tempatan (PBT) yang beri sokongan logistik.

“Akan datang kita akan kaji semula keperluan sukan termasuk elaun kepada atlet. Mungkin kita akan minta peningkatan peruntukan pada belanjawan negeri akan datang,” katanya pada sidang Dewan Negeri Selangor (DNS) hari ini.

Terdahulu Ahli Dewan Negeri Hulu Kelang Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali bertanyakan langkah pentadbiran dalam meningkatkan prestasi atlet dan jurulatih sukan negeri ini.

Pasukan sepak takraw Selangor menjalani latihan menjelang Sukan Malaysia (Sukma) ke-21 di Sarawak dari 17 hingga 24 Ogos 2024. Foto Facebook Majlis Sukan Negeri Selangor

Najwan turut memaklumkan Majlis Sukan Negeri Selangor (MSNS) melaksanakan beberapa inisiatif antaranya kem latihan serta program pengukuhan mental dan psikologi sebagai langkah melahirkan atlet terbaik.

“Bagi meningkatkan prestasi jurulatih, MSNS beri pendedahan dan menyediakan platform pembelajaran berterusan melalui kursus atau bengkel sains sukan, seminar kejurulatihan dan kursus teknikal berdasarkan spesifik sukan.

“MSNS turut membantu jurulatih menjalin kerjasama dengan pasukan luar negara agar dapat menimba ilmu antaranya kerjaya memorandum persefahaman dengan Majlis Sukan Gyeonggi, Korea Selatan dan Komite Olahraga Nasional Indonesia Aceh bagi tujuan peningkatan ilmu kesukanan,” kata wakil rakyat Kota Anggerik itu.


Pengarang :