AGENDAJENAYAH

Rangka manusia dalam semak sah milik remaja hilang sejak 26 Mei

BATU PAHAT, 4 JULAI: Polis mengesahkan rangka manusia yang ditemukan dalam semak di kebun durian berhampiran Kompleks Penghulu Mukim Linau, di Jalan Yong Peng, dekat sini, 24 Jun lalu, milik remaja yang dilaporkan hilang pada 26 Mei.

Pemangku Ketua Polis Daerah Batu Pahat Supt Shahrulanuar Mushaddat Abdullah berkata pengesahan rangka terbabit milik Hafiz Fauzan Abdul Halid, 16, berdasarkan keputusan analisa pemprofilan Asid Deoksiribonukleik (DNA), oleh Jabatan Kimia Malaysia Negeri Johor, hari ini.

Beliau berkata melalui profil DNA diperolehi daripada spesimen darah yang diambil untuk tujuan perbandingan mendapati kebarangkalian keibubapaan dengan rangka manusia yang ditemukan ialah 99.99 peratus.

“Identiti rangka manusia tersebut ialah Hafiz Fauzan Abdul Halid, lelaki Melayu, berumur 16 tahun, pelajar tingkatan lima dan beralamat di Bandar Putera Indah Batu Pahat Johor, merupakan mangsa orang hilang yang dilaporkan sejak 26 Mei,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Sementara itu, bapanya Abd Halid Sugiman, 44, ketika dihubungi menyatakan rasa bersyukur setelah menerima pengesahan keputusan DNA tersebut, selepas hampir sebulan mencari anak ketiganya itu.

“Jenazah akan dituntut pagi esok (5 Jul) dan dikebumikan hari sama di Tanah Perkuburan Islam Batu 7, Tongkang Pechah,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :