AGENDAJENAYAH

Remaja antara sembilan individu ditahan dipercayai terlibat pertaruhan Euro 2024

KUALA LUMPUR, 3 JULAI: Remaja lelaki ditahan di sebuah kafe di Bandar Sunway semalam, disyaki terlibat dengan pertaruhan perlawanan bola sepak Euro 2024.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya ACP Wan Azlan Wan Mamat berkata remaja berusia 19 tahun itu ditahan pada 12.50 tengah malam dan polis turut merampas telefon bimbit untuk membantu siasatan.

“Remaja itu direman hingga Jumaat ini untuk siasatan di bawah Seksyen 6(3) Akta Pertaruhan 1953 (Akta 495),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata penahanan remaja itu dilakukan menerusi Op Soga yang bermula dari 14 Jun hingga 14 Julai ini.

Wan Azlan berkata setakat ini, lapan serbuan dijalankan menerusi operasi itu di sekitar Subang Jaya oleh Bahagian Siasatan Jenayah Subang Jaya, Balai Polis Bandar Sunway dan Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor.

Beliau berkata hasil serbuan, polis menahan sembilan individu berusia 19 hingga 35 tahun dan merampas sembilan telefon bimbit berkaitan perjudian pertaruhan Euro 2024.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 6(3) Akta Pertaruhan 1953 dan kesalahan imigresen di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155),” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :