EXCO Kebajikan Masyarakat Anfaal Saari (tiga, kiri) ketika sidang media insentif MamaKerja di Dewan Annex Negeri Selangor, Shah Alam pada 11 Julai 2024. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/MEDIASELANGOR
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Ringan beban ibu berkerjaya, lebih 4,000 dapat insentif tunai RM1,000

SHAH ALAM, 31 JULAI: Seramai 4,042 ibu berkerjaya di Selangor menerima bantuan tunai sebanyak RM1,000 melalui inisiatif MamaKerja setakat 11 Julai lalu, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari menjelaskan pemberian insentif itu bagi meringankan beban golongan tersebut selaras janji 100 hari Kerajaan Perpaduan dalam pilihan raya negeri lalu.

“Sasarannya 5,000 ibu dibantu, bermakna masih ada ruang untuk permohonan baru. Ibu-ibu hebat Selangor yang berminat boleh cuba mohon di mamakerja.selangkah.my selagi belum ditutup,” katanya.

Menerusi kemas kini di Facebook hari ini, katanya, pentadbiran negeri turut berhasrat menjadikan insentif berkenaan sebagai program tahunan bagi menyuntik kebahagiaan kepada kaum ibu.

Inisiatif MamaKerja yang dibuka bermula 1 November tahun lalu antara manifesto Kerajaan Perpaduan yang ditawar kepada rakyat Selangor pada pilihan raya negeri, Ogos 2023.

Melibatkan peruntukan RM5 juta, skim tersebut memanfaatkan 5,000 wanita bekerja yang memiliki tiga anak bawah 12 tahun dengan pendapatan isi rumah tidak melebihi RM8,000.

Syarat kelayakan lain seperti berikut:

  • Wanita bekerja dan bermajikan
  • Rakyat Selangor (lahir di Selangor atau bermastautin di Selangor melebihi 10 tahun)
  • Mengundi di Selangor
  • Mempunyai akaun Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) atau caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP)
  • Bukan penerima bantuan Asuh Pintar, Bantuan Kehidupan Sejahtera Selangor (Bingkas) dan Tunas


Pengarang :