KUALA LUMPUR, 25 JULAI: Rancangan Selangor Pertama (RS-1) diperkenal pentadbiran negeri berfungsi sebagai panduan dan hala tuju pembangunan sosioekonomi.
Menurut Dato’ Menteri Besar, rancangan pembangunan lima tahun itu juga menumpukan tekad untuk meningkatkan taraf hidup rakyat selain mengukuhkan daya tahan alam sekitar.
![](https://selangorkini.my/wp-content/uploads/2024/07/P_MBSIBSMIDA-9-500x333.jpg.webp)
“RS-1 turut digubal untuk menjadikan Kerajaan Negeri menyampai perkhidmatan secara digital dengan responsif kepada rakyat pada abad ke-21.
“Hingga akhir Jun, 33.7 peratus projek dan inisiatif di bawah RS-1 selesai manakala 66 peratus dalam peringkat pelaksanaan melalui projek Kawasan Pembangunan Sabak Bernam, Projek Wilayah Pembangunan Bersepadu Selangor Selatan dan Kompleks Sukan Shah Alam,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada sidang Ekspo Taman Perindustrian Selangor sempena Sidang Kemuncak Perniagaan Selangor di sini hari ini.
![](https://selangorkini.my/wp-content/uploads/2024/07/P_MBSIBSMIDA-12-500x333.jpg.webp)
Amirudin menambah, RS-1 turut dirangka sebagai persediaan menghadapi peralihan struktur ekonomi dan trend pekerjaan ke bidang automasi.
“Sektor pembuatan dan perkhidmatan kekal sumbang hasil ekonomi yang tinggi pada 32.6 peratus dan 26.7 peratus kepada Selangor. Namun negeri tidak boleh leka dengan pencapaian ini.
“Oleh itu, Kerajaan Negeri bukan sahaja komited untuk meningkatkan pembangunan infrastruktur, malah meningkatkan usaha menjadikan Selangor berdaya tahan dan mampan seiring dengan persekitaran ekonomi semasa,” katanya.
RS-1 diperkenal pentadbiran negeri bagi memenuhi keperluan jangka pendek dan membina daya tahan yang kukuh pada masa depan.
Pertama kali dibentang pada Julai 2022, pelan pembangunan lima tahun itu meliputi empat teras ke arah pencapaian aspirasi Negeri Pintar, Berdaya Huni dan Makmur menjelang 2025.
Tidak hanya merancak pertumbuhan ekonomi melalui potensi pelaburan, RS-1 menumpukan aspek pembangunan sosial melalui peningkatan peluang kerja dan menurunkan kadar kemiskinan bandar.