Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menunjukkan buku Kajian Separuh Penggal Rancangan Selangor Pertama (KSP RS-1) bersama barisan EXCO dan pimpinan Kerajaan Negeri di Bangunan Annex, Shah Alam pada 4 Julai 2024. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

RS-1 main peranan rekod nilai aktiviti ekonomi negeri lebih RM400 bilion

SHAH ALAM, 4 JUL: Rancangan Selangor Pertama (RS-1) memainkan peranan penting dalam memastikan Selangor mencipta sejarah merekodkan nilai aktiviti ekonomi berjumlah RM406.1 bilion pada 2023, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata pengiktirafan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) yang melihat Selangor negeri pertama berjaya merancakkan aktiviti ekonomi kepada paras mencecah RM400 bilion juga hasil RS-1 yang dibentangkan dua tahun lalu.

“Kejayaan lain adalah sumbangan Selangor kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara telah meningkat dari 25.5 peratus kepada 25.9 peratus.

“Lonjakan KDNK sejumlah 0.4 peratus didorong kerancakan aktiviti sektor pembuatan dan perkhidmatan di Selangor,” katanya selepas merasmikan Hari Terbuka RS-1 di lobi ANNEX di sini hari ini.

Amirudin menambah Selangor turut mencatat kitaran ekonomi sejumlah RM100 bilion antara 2018 hingga 2023.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari melihat replika Kompleks Sukan Shah Alam ketika majlis sesi perasmian Kajian Separuh Penggal Rancangan Selangor Pertama (KSP RS-1) di Bangunan Annex, Shah Alam pada 4 Julai 2024. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

“Selangor terus cemerlang dengan mencatatkan sumbangan terbesar kepada KDNK negara dengan jumlah sumbangan 25.9 peratus pada 2023, berbanding 25.5 peratus pada 2022 dan 24.8 peratus pada 2021.

“KDNK Selangor pada 2021 mencatat nilai pertumbuhan 5 peratus dan melonjak kepada 11.9 peratus pada 2022.

“Selangor merupakan negeri yang mencatatkan pertumbuhan ekonomi paling tinggi pada 2023 dengan nilai 5.4 peratus,” jelasnya.

Dalam pada itu, Amirudin memaklumkan mengikut Kajian Separuh Penggal RS-1 (KSP RS-1) 2021 hingga 2023, 18 peratus projek, program, inisiatif (PPI) telah selesai sepenuhnya manakala bakinya sedang berjalan.

“Alhamdulillah sebahagian besar daripada usaha diikhtiarkan telah berjalan selepas melalui proses perancangan yang teliti. Hampir 20 peratus telah selesai dilaksanakan dan merupakan usaha tahunan.

“Oleh itu, untuk terus kekal berdaya saing, pencapaian KSP RS-1 telah pun dinilai bagi tempoh pelaksanaan tahun 2021 hingga 2023 bagi memastikan matlamat RS-1 ini dapat dicapai,” katanya.

Peserta melihat pameran pada majlis perasmian Kajian Separuh Penggal Rancangan Selangor Pertama (KSP RS-1) di Bangunan Annex, Shah Alam pada 4 Julai 2024. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Pengarang :