Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berucap pada program Jerayawara Siswa Kita Selangor di Universiti Sains Malaysia pada 30 Jun 2024. Foto Facebook Amirudin Shari
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

RS-1 miliki pelan pembangunan menyeluruh, depani peningkatan migrasi

TASEK GELUGOR, 1 JUL: Rancangan Selangor Pertama (RS-1) memiliki pelan pembangunan menyeluruh bagi menghadapi pertambahan penduduk kesan migrasi yang tinggi, kata Dato’ Menteri Besar.

Menjelaskan populasi penduduk Selangor kini mencecah tujuh juta orang, Dato’ Seri Amirudin Shari berkata RS-1 dirangka dengan hala tuju jelas untuk mentadbir negeri dengan sistematik.

“Pada 2008, populasi penduduk Selangor 4.8 juta, 6.8 juta pada 2020 dan capai tujuh juta akibat migrasi yang tinggi. Jika diukur kadar kelahiran, hanya 1.9 juta orang setakat 2018.

“Jadi, Kerajaan Negeri tidak boleh berdiam diri menerima kehadiran penduduk yang tinggi dengan mengulangi formula dan dasar sedia ada untuk mencipta kejayaan,” katanya.

Berucap pada program Jerayawara Kita Selangor Zon Utara di Universiti Sains Malaysia semalam, Amirudin menambah RS-1 digubal untuk berdepan cabaran mengekalkan status negeri maju sejak 2005.

“Kerajaan Negeri lancar pada 2022, menjadikan negeri pertama lancar rancangan pembangunan sendiri untuk setiap tahun.

“Beberapa projek RS-1 bakal diperkukuh antaranya Wilayah Pembangunan Bersepadu Selangor Selatan (IDRISS) dan Pembangunan Kawasan Sabak Bernam untuk memacu ekonomi negeri,” katanya.


Pengarang :