EXCO Pelaburan Ng Sze Han bercakap kepada Media Selangor selepas majlis pembukaan Semicon Asia Tenggara 2024 di Mitec, Kuala Lumpur pada 28 Mei 2024. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Selangor bangun taman semikonduktor kedua, penuhi permintaan tinggi pasaran

Oleh Yasmin Ramlan

PETALING, 30 JULAI: Industri semikonduktor di Selangor akan diperkukuhkan dengan pembangunan taman reka bentuk litar bersepadu (IC) kedua, kata EXCO pelaburan.

Ng Sze Han berkata perancangan awal itu dibuat susulan permintaan tinggi pemain industri dan perbincangan dengan pelbagai pihak sedang dilaksanakan termasuk mengenal pasti lokasi sesuai.

“Meskipun taman reka bentuk IC pertama di Puchong akan dirasmikan Ogos ini tetapi kita sudah ada permintaan untuk membangunkan taman reka bentuk IC kedua. Ini menunjukkan Selangor berada di landasan terbaik untuk menajdi pemain utama sektor semikonduktor.

“Pemerkasaan dan penumpuan terhadap sektor semikonduktor yang dilaksana negeri ini ketika ini bakal membantu pelaburan ke pasaran global,” katanya ditemui pemberita selepas meninjau projek penyuraian trafik dan menaik taraf Jalan Bandar Puchong Jaya, hari ini.

Pada April, Selangor menandatangani memorandum persefahaman dengan empat syarikat termasuk ARM Ltd yang berpusat di United Kingdom, Shenzhen Semiconductor Industry Association (China).

Ia bagi membangunkan taman reka bentuk litar bersepadu (IC) dan pemacu semikonduktor Malaysia: Hab Selangor di Puchong yang turut melibatkan kerjasama Phison Malaysia dan SkyeChip.

Bakal dikendalikan Perbadanan Teknologi Maklumat Ekonomi Digital Selangor mulai Jun, pusat itu mampu menjana pulangan ekonomi sehingga RM1 bilion selain bakal membuka peluang kerjaya dengan tawaran gaji mencecah RM7,000.

 


Pengarang :