Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari meninjau kawasan jeti bersama nelayan sempena Jelajah Kita Selangor Penyayang daerah Klang di Jeti Pengkalan Nelayan, Kampung Delek, Klang pada 18 Februari 2023. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKIN
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Selangor bela kebajikan nelayan, peruntuk bantuan alatan, kelengkapan ke laut

SHAH ALAM, 30 JULAI: Selangor prihatin membela kebajikan nelayan dengan memperuntuk bantuan bersasar berupa insentif peralatan dan kelengkapan menangkap ikan berjumlah RM400,000.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata insentif memanfaatkan 200 nelayan itu merangkumi bantuan pukat hanyut, tong minyak, kotak ikan dan minyak pelincir bagi mengurangkan beban mereka.

“Bantuan bersasar berupa insentif peralatan dan kelengkapan menangkap ikan berjumlah RM2,000 (setiap nelayan) ini adalah antara usaha Kerajaan Negeri membela kebajikan nelayan.

“Moga sumbangan ini memberi kelegaan buat mereka, insya-Allah,” katanya menerusi Facebook hari ini.

Amirudin menambah Kerajaan Negeri sentiasa memberi perhatian terhadap keperluan nelayan dan berusaha membela kebajikan mereka.

“Nelayan pun ada keperluan yang perlu diberi perhatian. Misalnya jaring atau pukat mungkin perlu ditukar tiga hingga enam bulan sekali dengan kos sekurang-kurangnya RM100.

“Tong ikan pula mencecah RM200 dan ada nelayan perlu belanja sekitar RM1,000 sebulan untuk kos bahan api turun ke laut.

“Memahami keperluan nelayan yang memberi kesan terhadap pendapatan mereka, Kerajaan Negeri menyumbang RM400,000 untuk membantu 200 orang nelayan,” katanya.

Sebelum ini EXCO Pertanian Ir Izham Hashim berkata 200 nelayan negeri ini menikmati bantuan berjumlah RM400,000 menerusi program Pembangunan Agropreneur Selangor: Bantuan Nelayan.

Penerima melibatkan lima Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) Sepang, Kuala Langat, Pelabuhan Klang, Sungai Besar dan Kuala Selangor.

Pembangunan Agropreneur Selangor: Bantuan Nelayan merupakan salah satu inisiatif di bawah Pelan Transformasi Agro Selangor (PeTA) yang dilaksanakan bagi memperkukuh industri pertanian dan agro Selangor sehingga 2025.

PeTA antara lain sebagai garis panduan untuk memajukan sektor pertanian secara holistik dan sistematik dengan matlamat menjamin bekalan makanan dan meningkatkan pendapatan petani, penternak serta nelayan.


Pengarang :