Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari membentang Kajian Separuh Penggal Rancangan Selangor Pertama (RS-1) dalam sidang Dewan Negeri Selangor (DNS) di Bangunan Annex, Shah Alam pada 4 Julai 2024. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/MEDIA SELANGOR
BERITA UTAMASELANGOR

Selangor catat bilangan hari sidang dewan negeri tertinggi, demokrasi subur

SHAH ALAM, 26 JULAI: Selangor mencatat bilangan hari persidangan dewan negeri tertinggi berdasarkan laporan Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS).

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata laporan itu membuktikan amalan demokrasi di Selangor terus subur dan mekar.

“Alhamdulillah, laporan tersebut turut mengiktiraf Selangor sebagai negeri mencatatkan bilangan hari persidangan dewan negeri tertinggi.

“Ini adalah bukti amalan demokrasi subur dan mekar di Selangor, menyangkal dakwaan yang dibuat ketua pembangkang baru-baru ini,” katanya menerusi laman X.

Amirudin menambah laporan itu juga menyatakan Selangor dinobat negeri paling telus dalam belanjawan di Malaysia dan berada pada kedudukan tertinggi skor keterbukaan awam dengan rekod 76 markah.

“Menurut laporan tersebut, belanjawan yang dibentang Kerajaan Negeri mudah diakses, terperinci dan diberi ruang perbahasan sebaiknya dalam Dewan Negeri Selangor (DNS).

“Insya-Allah kita akan perbaiki ruang yang ada bagi meneruskan momentum baik ini,” katanya.

Menerusi perkongsian data skor keterbukaan awam, Terengganu turut merekodkan skor sama iaitu 76 diikuti Negeri Sembilan (69); Perak (67); Melaka (60); Johor (53); Sarawak (51); Sabah (49); Pulau Pinang (45); Perlis (27); Kelantan (25); Kedah (18) dan Pahang (18).

Minggu lalu, Speaker Lau Weng San membalas kenyataan Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali yang menuduh beliau memendek hari persidangan DNS selain mendakwa waktu perbahasan wakil rakyat pembangkang dibataskan.

Beliau berkata sebanyak 64 pertanyaan lisan dan 84 soalan tambahan dijawab sepanjang lima hari persidangan yang berakhir pada 12 Julai.

Katanya, pecahan soalan antara Ahli Dewan Negeri (ADN) yang mewakili kerajaan, pembangkang dan Bebas seimbang iaitu 35 ADN kerajaan (35 soalan atau 55 peratus), 21 ADN pembangkang (27 soalan atau 42 peratus) dan ADN Bebas (2 soalan atau tiga peratus).


Pengarang :