Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berucap ketika majlis penyerahan dokumen di bawah Program Pusat Dokumen Pengenalan Diri MySel 2024 di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam pada 29 Julai 2024. Foto HAFIZ OTHMAN/MEDIA SELANGOR
BERITA UTAMASELANGOR

Selangor giat bantu penduduk miliki dokumen pengenalan diri

SHAH ALAM, 29 JULAI: Usaha mempromosi Program Pusat Dokumen Pengenalan Diri MySel (MySel) giat dilaksana bagi membantu golongan tertentu memiliki dokumen pengenalan diri.

Dato’ Menteri Besar berkata kerjasama melibatkan pemimpin masyarakat diperlukan memandangkan ada antara mereka mengalami masalah bahasa sekali gus menyukarkan penyediaan dokumen dan proses permohonan.

“Selain bahasa, faktor undang-undang keluarga juga menjadi sebab mereka tiada pengenalan diri. Mungkin tiada dokumen sah lengkap perkahwinan atau berkahwin dengan warga luar atau berkahwin di luar.

“Selain itu faktor sosio ekonomi. Duduk di kawasan pendalaman atau ladang, jadi mereka tidak pergi mendaftar (kelahiran),” kata Dato’ Seri Amirudin Shari.

Terdahulu beliau menyerahkan dokumen pengenalan diri kepada 30 penerima di sini hari ini. Lebih 2,000 individu menerima manfaat inisiatif itu sejak diperkenal pada 2008.

Juhara Manda menunjukkan contoh dokumen pengenalan diri MySel pada majlis penyerahan dokumen di bawah Program Pusat Dokumen Pengenalan Diri MySel 2024 di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam pada 29 Julai 2024. Foto HAFIZ OTHMAN/MEDIA SELANGOR

Sementara itu, penerima inisiatif, Juhara Manda, 32, berkata beliau terpaksa membatalkan tiga kali rancangan perkahwinan kerana tidak memiliki kad pengenalan.

Jelasnya, sejak kecik juga beliau tidak berpeluang bersekolah di mana-mana sekali gus memberi kesan kepada diri daripada segi kerjaya.

“Bab gaji, saya kena tipu. Bayaran sedikit berbanding warga negara. Sepanjang 10 tahun ini, berpuluh kali saya turun naik ke Putrajaya (Jabatan Pendaftaran Negara) untuk selesaikan tetapi tak dilayan.

“Dengan MySel, dalam beberapa bulan sudah dapat kad pengenalan. Lepas ini saya mahu menyertai kursus kemahiran kecantikan sebab selama ini tiada peluang walaupun minat tinggi,” katanya.

MySel diwujudkan bagi membantu golongan miskin yang tidak mempunyai pengetahuan dan saluran betul membuat permohonan mendapatkan dokumen pengenalan diri, kewarganegaraan, sijil kelahiran dan kad pengenalan.

Pegawainya berperanan menyelesaikan masalah anak tidak memiliki surat beranak disebabkan sindiket perkahwinan di sempadan termasuk kegagalan ibu bapa mendaftar kelahiran anak mereka atas perkara tertentu.


Pengarang :