EXCO Pelaburan Ng Sze Han berucap ketika sesi dialog khas dalam Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) 2024 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), Kuala Lumpur pada 25 Julai 2024. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/MEDIASELANGOR
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Selangor ibarat ‘California Malaysia’, bantu pertumbuhan ekonomi negara

Oleh YASMIN RAMLAN

KUALA LUMPUR, 26 JULAI: Prestasi ekonomi yang kukuh menjadikan Selangor kekal antara penyumbang terbesar Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara dalam tempoh beberapa tahun.

Digambarkan sebagai “California Malaysia”, EXCO Pelaburan Ng Sze Han berkata negeri itu juga bersedia memanfaatkan kekuatannya dalam menyokong pertumbuhan ekonomi negara dan Asia Tenggara.

“Selangor adalah ‘California Malaysia’ kerana ekonominya yang kuat dengan menyumbang 25.9 peratus KDNK tahun lalu, mencatat pertumbuhan 5.4 peratus dan nilai ekonomi lebih RM400 bilion,” katanya.

Beliau berucap dalam Persidangan Perniagaan Asean Selangor (SABC), yang diadakan bersempena siri pertama Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) 2024, di sini hari ini.

Menurutnya, kedudukan Selangor yang strategik dengan dua lapangan terbang antarabangsa utama dan pelabuhan kontena meletakkan negeri itu sebagai hab utama logistik terbaik di Asia Tenggara.

Sze Han menjelaskan negeri itu juga melepas sasaran pelaburan tahun lalu sebanyak RM55.3 bilion, termasuk menarik pelaburan utama seperti Google di Elmina Business Park, Sungai Buloh.

Beliau menambah pelbagai projek utama bawah Rancangan Selangor Pertama seperti Kawasan Pembangunan Sabak Bernam (SABDA), dijangka menjana lebih RM2 trilion dalam aktiviti ekonomi.

“Selangor akan menyokong penuh inisiatif Asean, selain komited memajukan landskap ekonomi negeri dan menyumbang kepada pertumbuhan dan kekuatan kolektif Asean,” katanya.

 


Pengarang :