AGENDANASIONAL

Selangor kecam pembunuhan Ismail Haniyeh, langgar hak asasi manusia

SHAH ALAM, 31 JULAI: Kerajaan Negeri mengecam pembunuhan Ketua Biro Politik Hamas, Ismail Haniyeh di Tehran, Iran hari ini.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata tindakan kejam itu adalah tindakan berterusan rejim Zionis melanggar hak asasi manusia serta undang-undang antarabangsa terhadap umat Islam Palestin.

“Puluhan ribu nyawa telah terkorban dalam konflik di Timur Tengah terutama wanita dan kanak-kanak.

“Saya turut menzahirkan ucapan takziah kepada seluruh umat Islam di Palestin atas tragedi ini,” kata beliau menerusi Facebook.

Ismail Haniyeh dibunuh dalam serangan dari udara di ibu kota Iran hari ini, di tengah-tengah perang Gaza yang berlarutan lebih 10 bulan.

Menurut laporan Al Jazeera yang memetik kenyataan kumpulan yang mentadbir Gaza, Ismail dan seorang pengawal peribadinya terbunuh selepas kediaman mereka di Tehran digempur Israel, sekitar 2 pagi.

Ismail dilaporkan berada di Tehran untuk menghadiri majlis angkat sumpah presiden baharu republik Islam itu, Masoud Pezeshkian semalam.


Pengarang :