Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari bercakap ketika sesi dialog khas dalam Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) 2024 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), Kuala Lumpur pada 25 Julai 2024. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/MEDIASELANGOR
AGENDANASIONAL

Selangor, Pulau Pinang boleh saling melengkapi di sebalik lonjakan semikonduktor

Oleh DANIAL DZULKIFLY

KUALA LUMPUR, 26 JULAI: Selangor dan Pulau Pinang boleh bekerjasama dan belajar antara satu sama lain, di sebalik lonjakan pelaburan dalam sektor semikonduktor, kata Dato’ Menteri Besar.

Melihat pengalaman luas Pulau Pinang membangunkan industri itu, Dato’ Seri Amirudin Shari berkata pentadbirannya juga terus mempergiat usaha menarik lebih banyak pelaburan berimpak tinggi.

Menyifatkan Selangor masih hijau dalam bidang itu, jelasnya, persaingan sihat sambil melibatkan kerjasama mendalam akan memanfaatkan kedua-dua negeri untuk jangka masa panjang.

“Sejak 1980-an, Pulau Pinang menumpukan industri semikonduktor sebagai tonggak utama ekonomi dan kawasan utama untuk pelaburan serta perdagangan.

“Pendekatan Selangor bermula dengan taman reka bentuk litar bersepadu (IC), membolehkan pembangunan secara berperingkat dan integrasi keseluruhan ekosistem.

“Daripada melihat Pulau Pinang sebagai pesaing, Selangor boleh menjadikannya peluang untuk saling melengkapi, menyumbang kepada kekuatan industri semikonduktor,” katanya di sini hari ini.

Amirudin bercakap dalam sesi dialog khas sempena Persidangan Perniagaan Asean Selangor, sebahagian daripada siri pertama Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) 2024.

Taman IC dan pemacu semikonduktor Malaysia: Hab Selangor yang dibangunkan di Puchong mampu menjana pulangan ekonomi sehingga RM1 bilion dan membuka peluang kerjaya profesional.

 


Pengarang :