Orang ramai yang hadir mengibarkan Jalur Gemilang bagi menyaksikan acara perbarisan dan perarakan sambutan Hari Kebangsaan 2022 di Dataran Merdeka pagi 31 Ogos 2022. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Semarak Hari Kebangsaan, DBKL edar lebih 40,000 Jalur Gemilang

KUALA LUMPUR, 28 JULAI: Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengedarkan lebih 40,000 Jalur Gemilang bagi menyemarakkan sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia (HKHM) 2024 di ibu negara.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa berkata bendera itu akan diedarkan kepada agensi kerajaan, badan bukan kerajaan, majlis perwakilan penduduk, persatuan penduduk dan institusi pendidikan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa. Foto BERNAMA

“Ini antara satu galakan kepada penghuni rumah di Kuala Lumpur mengibarkan satu Jalur Gemilang bagi setiap rumah untuk meningkatkan rasa kebersamaan menyambut Hari Kebangsaan. Jadi, penduduk di sekitar ibu negara boleh dapatkan bendera ini di pusat perkhidmatan di setiap Parlimen,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan Kempen Kibar Jalur Gemilang bersempena sambutan Bulan Kebangsaan 2024 Peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur di Karnival Santai Keluarga 50WP Temu DBKL @ Wangsa Maju di sini hari ini.

Dr Zaliha mengedarkan Jalur Gemilang kepada 11 wakil Parlimen di Kuala Lumpur pada majlis yang turut dihadiri Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Kamarulzaman Mat Salleh.

Beliau berkata pengedaran Jalur Gemilang itu akan diperluaskan ke Labuan dan Putrajaya selepas ini.

Dalam pada itu, beliau berkata pelbagai program dirangka DBKL sepanjang Bulan Kebangsaaan termasuk kempen dan pertandingan kibar Jalur Gemilang serta pertandingan pencahayaan untuk bangunan-bangunan di sekitar Kuala Lumpur.

— BERNAMA


Pengarang :