Peserta taekwon-do beraksi ketika Kejohanan Seni Bela Diri Selangor Xtiv di Dataran Kemerdekaan Shah Alam pada 29 Mei 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Seni bela diri mampu bantu remaja, kanak-kanak hindari budaya negatif

KUALA LUMPUR, 27 JULAI: Aktiviti seni bela diri seperti taekwondo berupaya membantu kanak-kanak dan para remaja menjauhi budaya atau perlakuan negatif.

Penasihat Kehormat Malaysian International Taekwon-Do Federation Union (MyITFU) Datuk Tuan Asmawi Tuan Umar berkata taekwondo, yang juga sebahagian daripada kokurikulum sekolah, adalah antara langkah terbaik untuk membina kecergasan fizikal, disiplin diri dan kemahiran sosial kanak-kanak serta remaja.

“Bidang kokurikulum juga antara elemen penting dalam membina sahsiah diri dan menyediakan anak-anak sebagai pewaris negara agar menjadi modal insan yang berilmu serta berakhlak mulia,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Kursus Kejurulatihan Antarabangsa (IIC) 2024 di Sekolah Menengah Sains Tengku Muhammad Faris Petra, Pengkalan Chepa, Kelantan.

Tuan Asmawi berkata ibu bapa juga perlu menggalakkan anak-anak menyertai kegiatan sukan, persatuan atau badan beruniform di sekolah masing-masing bagi mengelakkan mereka terjerumus dalam kes jenayah seperti rompakan dan samun.

Seramai 200 peserta daripada sebelas anggota gabungan MyITFU menyertai kursus dua hari itu.

-BERNAMA


Pengarang :