Pasangan beregu lelaki utama negara Aaron Chia-Soh Wooi Yik tewas pada saingan suku akhir di Arena Porte de la Chapelle, Paris dalam kejohanan Terbuka Perancis pada 8 Mac 2024. Foto Facebook Persatuan Badminton Malaysia
AGENDASUKANKINI

Serap tekanan, beregu Aaron- Wooi Yik jalani simulasi Sukan Olimpik

KUALA LUMPUR, 3 JULAI: Perlawanan simulasi Sukan Olimpik Paris 2024 memberi ‘input’ berguna kepada beregu lelaki utama negara Aaron Chia dan Soh Wooi Yik untuk menyerap ‘suasana’ temasya empat tahun sekali itu yang akan membuka tirai pada 26 Julai hingga 11 Ogos ini.

Jurulatih pasangan itu, Tan Bin Shen berkata ketika beregu ranking kelima dunia itu membuat penampilan pertama di Olimpik Tokyo 2020, ia berlangsung tanpa kehadiran penonton susulan sekatan COVID-19.

“(Persediaan) Ini sebenarnya saya bincang sendiri dengan Aaron-Wooi Yik macam mana (contohnya) latihan malam (dan) buat simulasi seperti di Olimpik sebab semasa di Tokyo tiada penonton, jadi (mungkin lain).

“Simulasi permainan ini memberi suasana seperti di Olimpik dan pertandingan sebab sebulan lebih (tidak sertai) pertandingan,” katanya selepas menyaksikan simulasi berkenaan yang berlangsung bersama beregu lelaki Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara di sini hari ini.

Dalam pada itu, Bin Shen berkata tidak mustahil Aaron-Wooi Yik menghadirkan kilauan pingat emas di Paris kerana tahap pemain lebih kurang sama, namun mereka perlu memastikan berada dalam keadaan bebas kecederaan serta mempunyai minda tenang untuk fokus aksi dalam gelanggang.

Selain mengakui tidak terfikir untuk ‘menghindar’ daripada keputusan mana-mana undian perlawanan beregu lelaki yang dijangka keluar minggu hadapan, sebaliknya mempersiapkan ‘senjata’ untuk mengatasi pihak lawan.

“…ini kali pertama (sebagai jurulatih dan bekas pemain selepas 15 tahun menunggu) pergi Olimpik (dan) memang ada banyak bincang dengan Pengarah Kejurulatihan Akademi Badminton Malaysia Rexy Mainaky dan kadangkala tengok banyak perlawanan ketika Olimpik, cara mereka main, macam mana boleh belajar daripada situasi,” katanya.

Sebagai rekod, Aaron-Wooi Yik membawa pulang pingat gangsa di Sukan Olimpik Tokyo 2020.

— BERNAMA


Pengarang :